Thursday, 30 May 2013

Mati Hidup Semula

“BAGAI mati hidup semula”. Demikian kata pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim mengenai kejayaan anak didik Bojan Hodak yang bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Terengganu secara agregat 6-5 dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, petang semalam.
Mengakui Kelantan kerap melakukan kesilapan pada babak pertama sehingga membolehkan Terengganu mendahului dua gol, Azman bagaimanapun menyifatkan sikap tidak putus asa dan keyakinan tinggi pemain untuk mencatat kemenangan membolehkan mereka menghasilkan ganjaran lumayan.
“Kami lakukan kesilapan tidak sepatutnya sepanjang 45 minit pertama. Kami bangkit pada lewat penghujung babak kedua dan Dickson Nwakaeme memastikan kita tidak kempunan musim ini.
“Semestinya pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana mereka begitu komited mengawal pergerakan pemain lawan selain mampu mencipta beberapa peluang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Pada aksi dramatik saingan separuh akhir kedua petang semalam, Kelantan tewas 2-4 namun tetap layak setelah menang 4-1 pada aksi pertama di Kota Bharu, Sabtu lalu.
Keputusan itu membuatkan Kelantan mara ke pentas final Piala FA buat kali keempat dalam tempoh lima tahun.
Mengulas lanjut, Azman berkata, beliau gembira melihat semangat juang pemain Kelantan yang menunjukkan mutu permainan luar biasa pada perlawanan tersebut.
Tambah Azman, dengan adanya semangat dan disiplin yang tinggi ditunjukkan oleh kesemua pemain, usaha mereka telah membuahkan hasil yang cemerlang dan akhirnya mereka berjaya mara ke pentas final sekali gus semakin menghampiri untuk mempertahankan gelaran juara musim lalu.
“Saya sangat terkejut melihat perubahan karakter pemain, meskipun pada mulanya mereka gagal beraksi dengan baik sehingga membolehkan pasukan lawan berjaya menghasilkan dua lagi gol pada babak kedua, namun Kelantan berjaya bangkit.
“Mereka langsung tidak mengalah dan persembahan pemain di babak akhir sangat luar biasa, inilah bola sepak,” ujar Azman.
Dalam pada itu ketika ditanya kesukaran Kelantan untuk menghasilkan gol sekiranya ketiadaan Dickson dalam pasukan itu, Azman bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebaliknya beliau menjelaskan apa yang penting mereka telah berjaya berada di pentas akhir Piala FA.
“Mengenai taktikal yang dilakukan Bojan saya enggan komen, dia sebagai jurulatih lebih mengetahui mana yang baik, apa yang penting sekarang fokus dan persiapan untuk perlawanan akhir.
“Apa strategi dan taktikal yang akan dilakukan nanti semuanya terpulang kepada jurulatih kerana dia yang akan uruskan,” kata Azman yang optimis Kelantan mampu mempertahankan gelaran musim lalu.

#Kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets