
Bojan Hodak bangga dengan komitmen yang ditunjukkan anak buahnya.
JURULATIH Kelantan, Bojan Hodak memuji semangat juang tinggi anak buahnya dalam mencipta empat kemenangan berturut-turut walaupun terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat.
Melihat kepada persembahan bertenaga anak buahnya dalam tiga perlawanan sebelum ini, dan terbaru menewaskan Perak 1-0 di gelanggang lawan semalam, pengendali berusia 42 tahun dari Croatia itu optimis skuad The Red Warriors (TRW) mampu berada dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Super musim ini.
Katanya, keserasian barisan depan TRW kini jelas semakin mantap apabila berjaya mencipta jaringan dalam setiap perlawanan dan memberi kemenangan kepada Kelantan.
“Apa yang boleh saya katakan semangat perjuangan pemain saya kini berada pada tahap tertinggi, terutama selepas berjaya membenam Johor Darul Takzim Sabtu lalu yang sekaligus mengekalkan kejuaraan Piala FA.
“Mereka berhak mendapat pujian walaupun Kelantan hanya mampu berada di tangga kelima dalam liga setakat ini. Ia jauh lebih baik berbanding di awal musim apabila satu ketika kita pernah menghuni tangga kesembilan.
“Ketajaman jentera serangan TRW kini tidak boleh dinafikan lagi apabila berjaya menghasilkan gol dalam setiap perlawanan dan mencipta kemenangan buat pasukan. Ia juga turut dibantu kekebalan benteng pertahanan yang masih belum melepaskan sebarang gol dalam empat perlawanan terakhir kami,” katanya, semalam.
Kelantan kini menghuni tangga kelima liga dengan 33 mata hasil daripada 23 perlawanan.
Anak buah Hodak masih berpeluang memintas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tangga keempat apabila hanya dibezakan dengan satu mata.
Selain itu, Hodak berkata, beliau mengharapkan ATM mendapat sekurang-kurangnya keputusan seri dalam perlawanan terakhir liga Sabtu ini bagi membuka ruang untuk anak buahnya merampas kedudukan keempat.
Katanya, Kelantan mungkin tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencipta kemenangan ke atas LionsXII Sabtu ini di Kota Baru selepas pasukan dari Singapura itu sudah sah menjadi juara liga.
“LionsXII mungkin tidak akan menurunkan kesebelasan terbaik mereka dalam perlawanan terakhir liga menentang kami nanti apabila sudah dinobatkan sebagai juara.
“Bagaimanapun kami tetap berwaspada dan tidak boleh mensia-siakan peluang mengutip tiga mata di gelanggang sendiri.
Kita juga mengharapkan Perak dapat sekurang-kurangnya mengikat ATM dengan keputusan seri supaya kita boleh merampas kedudukan keempat liga.”
www.sports247.my