Thursday, 18 July 2013

Semua Mesti Isytihar Harta

FAM
PUTRAJAYA – Semua pemain, pegawai pasukan dan pemain import yang terlibat dalam Liga Malaysia diwajibkan untuk mengisytiharkan harta masing-masing berkuatkuasa mulai musim depan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, langkah tersebut perlu sebagai usaha untuk mengekang gejala mengatur perlawanan yang kembali menular dalam liga tempatan.
Beliau berkata, ia juga sejajar dengan usaha FAM yang mahu memperkasakan nilai-nilai integriti di kalangan mereka yang terlibat dalam liga tempatan.
“FAM juga merasakan perlu dilaksanakan sekarang setelah Jawatankuasa Integriti FAM sendiri mengesyorkan borang pengisytiharan harta pemain, pegawai pasukan dan pemain import dalam liga tempatan.
“Kita juga akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan pengisytiharan harta itu benar-benar tulen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Integriti FAM yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Tan Sri Aseh Che Mat di sini, semalam.
Hamidin berkata, borang pengisytiharan harta itu dijamin sesuai dengan keperluan seorang pemain, pegawai pasukan dan pemain import yang terlibat.
“Jawatankuasa Integriti FAM telah memperhalusi dan mempermudahkan borang itu agar ia tidak dilihat membebankan mereka yang berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Aseh berkata, lima persatuan bola sepak (FA) negeri yang telah mewujudkan Jawatankuasa Integriti masing-masing adalah Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pahang dan Sabah.
Beliau menambah, FA negeri yang lain masih lagi membisu sehingga kini berhubung saranan FAM dalam memartabatkan industri bola sepak negara itu.
“Sehubungan itu, kita akan hantar surat dalam minggu ini dan tengok dahulu maklum balas serta komitmen FA negeri dan selepas itu mungkin kita akan tetapkan tarikh,” katanya.
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets