Mohd Norfarhan Muhammad
Kota Bharu: Pemain sayap Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad tekad mencipta jaringan pada perlawanan terakhir saingan Liga Super ketika melayani kunjungan LionsXII di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Norfarhan yang menjadi penjaring tunggal ketika menewaskan Johor Darul Takzim (JDT), 1-0 pada final Piala FA mahu meneruskan sentuhan berbisanya berdepan pasukan kendalian V Sundramoorthy.
Norfarhan berkata, andai mendapat kepercayaan jurulatih Bojan Hodak menyertai kesebelasan utama, dia bersedia merobek gawang lawan.
“Terpulang kepada jurulatih namun saya sedia menggalas tugas. Jika dapat beraksi saya akan membalas kepercayaan jurulatih dan ingin menghadiahkan jaringan.
“Gol tunggal ketika membantu The Red Warriors (TRW) mempertahankan kejuaraan Piala FA dua tahun berturut-turut menjadi motivasi untuk terus memberikan aksi meyakinkan.
“Jaringan itu memberi semangat kepada saya mencari kemenangan menentang LionsXII,” katanya.
Kelantan yang mengejar tiga mata bagi memastikan berada dalam kelompok empat terbaik musim ini juga terpaksa menggalas tanggungjawab negara untuk menewaskan pasukan dari seberang tambak Johor yang berjaya merampas trofi Liga Super musim ini.
Norfarhan berkata, Lions XII pasti enggan mengalah selepas dinobat juara Liga Super dan ia menjadi cabaran kepada Kelantan.
“Kelantan perlu menewaskan LionsXII meskipun mereka sudah dinobat juara Liga Super. Jika Kelantan menang, sekurang-kurangnya dapat mengembalikan maruah negara.”
#kelate.net