Saturday, 31 August 2013

Hodak : TRW Wajib Menang

Ahmad Fakri (kiri) diberi kepercayaan menerajui serangan Kelantan manakala William Modibo terpaksa diketepikan Negeri Sembilan akibat digantung perlawanan.
APA cara sekali pun, penyandang juara, The Red Warriors wajib menang ke atas Negeri Sembilan pada aksi pertama pusingan kedua peringkat Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Sedar bakal berdepan laluan berliku jika memilih untuk mencatatkan keputusan seri atau tewas kepada bekas juara Piala Malaysia musim 2011 itu, Ketua Jurulatih, Bojan Hodak menuntut anak didiknya mempamerkan corak permainan lebih tersusun dan menutup segala kepincangan bagi memastikan tiga mata mutlak menjadi milik mereka.
“Ia (perlawanan) cukup sengit kerana Negeri Sembilan telah pun buktikannya pada pertemuan tempoh hari. Apa pun, saya percaya kami mampu memadamkan ego Negeri Sembilan di hadapan penyokong sendiri malam ini,” katanya, semalam.
Malah jurulatih berusia 42 tahun itu turut menyifatkan ketiadaan pertahanan import Negeri Sembilan dari Cameroon, William Paul Modibo yang digantung satu perlawanan memudahkan lagi tugas anak buahnya merobek gawang skuad Jang.
Sementara itu, Hodak mengesahkan akan menggandingkan dua penyerang tempatan, Ahmad Fakri Saarani dan Indra Putra Mahayuddin bagi mengepalai jentera serangan malam ini.
Katanya, rombakan itu dilakukan setelah penyerang import sensasi, Dickson Nwakaeme mengalami kecederaan otot pada aksi terakhir di Paroi, Selasa lalu.

#kelate.net

Misi Kelantan Buru 3 Mata Malam Ini

Mohd Daudsu Jamaluddin
KELANTAN tiada pilihan selain menang ke atas Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini andai mahu meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2013.
Pemain pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin berkata, tidak kira apa juga keputusan sekali pun, tiga mata harus diraih skuad The Red Warriors (TRW) bagi membolehkan pasukan itu menempah tiket awal ke peringkat suku akhir.
Selepas tiga perlawanan, Kelantan kini menghuni tangga kedua Kumpulan C dengan mengumpul lima mata.
“Tiga mata penuh itu amat berharga. Kami tidak mahu kehilangannya dalam pertemuan malam ini.
“Bagaimanapun kami tidak boleh memandang rendah dengan keupayaan Negeri Sembilan, tetapi saya yakin dengan prestasi pemain lain,” katanya.
Mengulas mengenai ketiadaan Dickson Nwakaeme yang mungkin menggugat rentak permainan Kelantan malam ini, Daudsu bagaimanapun menyifatkan ketiadaan pemain itu bukan masalah bagi pasukannya untuk berdepan Negeri Sembilan.
Daudsu berkata, ini dibuktikan apabila pasukannya pernah mencatatkan beberapa kemenangan dalam saingan Liga Super sepanjang musim ini tanpa kelibat penyerang import Nigeria itu.
“Memang sedikit terasa apabila Nwakaeme tiada, namun saya percaya masih ada ramai penyerang yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan beliau.
“Saya yakin kita dapat melakukan sesuatu dalam perlawanan ini dengan syarat rangkaian jentera serangan perlu memanfaatkan setiap peluang terhidang,” katanya.

#kelate.net

Friday, 30 August 2013

Hodak Akur Jang Hebat



Penyerang Kelantan, Norfarhan Mohammad diasak pemain Negeri Sembilan, William Mobibo dalam aksi Kumpulan C kempen Piala Malaysia 2013.
KEKENTALAN jentera tengah Negeri Sembilan menjadi punca penyandang juara Piala Malaysia, Kelantan gagal meraih mata penuh setelah diikat seri 1-1 pada aksi ketiga kumpulan C di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.
Ini diakui pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak yang menyifatkan percaturan Negeri Sembilan meletakkan lima pemain di posisi tengah menyukarkan pergerakan barisan pemainnya mencipta gerakan berbahaya dalam perlawanan tersebut.
“Formasi 4-5-1 mereka memberi kesulitan kepada kami. Pemain tengah mereka cukup rajin, sentiasa bekerja keras dan berlari ke segenap penjuru padang dan kami berdepan masalah untuk menembusi pintu gol mereka.
“Kami terselamat daripada kekalahan kerana sepakan penalti Negeri Sembilan gagal menghasilkan jaringan.  Mereka (pemain) begitu bersemangat, mahu bangkit daripada kekalahan kepada Pahang dan memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Dickson Nwakaeme pada minit ke-40 namun penyerang import Negeri Sembilan, Fabio Leandro Barbosa  menyamakan kedudukan bagi pasukannya 20 minit kemudian.
Usaha untuk menewaskan skuad Jang menjadi bertambah sukar apabila Hodak secara jujur memberitahu beberapa tonggak utamanya beraksi di bawah tahap keupayaan sebenar mengakibatkan pasukannya gagal meraih mata penuh pada perlawanan tersebut.
“Memang Piya (Mohd Badhri Radzi) kurang memuaskan tetapi dia mempamerkan aksi sebaik mungkin dalam perlawanan ini.
“Mohd Faiz Subri gagal menampilkan keyakinan tinggi, memaksa saya menggantikannya dengan Indra Putra Mahayuddin dalam babak kedua,” katanya.
Lebih parah bagi jurulatih kelahiran Croatia itu, apabila kehilangan Nwakaeme untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 hari termasuk pada pertemuan timbal balas menentang lawan sama di Kota Bharu pada Sabtu ini akibat kecederaan otot.
Dengan saingan kumpulan C dilihat seimbang membabitkan empat negeri ketika ini, Hodak menegaskan pasukannya perlu bangkit menewaskan Negeri Sembilan bagi memastikan salah satu slot ke suku akhir menjadi milik mereka.

#kelate.net

Red Warrior Bernasib Baik

Pemain Kelantan, Mohd. Faiz Subri (kanan) diasak pemain Negeri Sembilan, William Modibo pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.
KOTA BHARU – Pengendali Kelantan, Bojan Hodak mengakui pasukannya bernasib baik dan terselamat daripada mengalami kekalahan selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Negeri Sembilan dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman dekat Paroi, kelmarin.
Bagaimanapun, Kelantan terpaksa membayar dengan harga yang mahal untuk mencuri satu mata di tempat lawan itu apabila penyerangnya, Dickson Nwakaeme mengalami kecederaan dan berkemungkinan tidak dapat beraksi pada perlawanan berikutnya Sabtu ini.
Hodak berkata, barisan pemain Negeri Sembilan wajar diberikan pujian kerana mempamerkan ketahanan mental yang tinggi dan tidak mudah berputus asa walaupun ketinggalan 0-1 kepada Kelantan pada perlawanan tersebut.
“Negeri Sembilan memiliki jentera tengah yang hebat dan sentiasa mempamerkan bekerja keras sehingga menyukarkan pergerakan Kelantan pada perlawanan tersebut.
“Saya akui Kelantan terselamat dari mencatatkan kekalahan pada perlawanan tersebut selepas Negeri Sembilan gagal memanfaatkan beberapa peluang termasuklah sepakan penalti pada babak pertama,” ujarnya ketika dihubungi di semalam.
Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu keempat-empat pasukan yang berada dalam Kumpulan C mempunyai peluang seimbang untuk mara ke peringkat seterusnya.
Mengenai kecederaan Nwakaeme, Hodak memberitahu, penggempur itu cedera pada otot dijangka terlepas aksi selama dua minggu.
www.utusan.com.my

#kelate.net

Thursday, 29 August 2013

"Botak" Tidak Cepat Latah

Bojan Hodak
JURULATIH Kelantan, Bojan Hodak, tetap berpuas hati meskipun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan ketiga kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
Kegagalan juara bertahan itu mendapatkan tiga mata dilihat satu kerugian apabila dua lagi pasukan dalam kumpulan C yang turut berentap semalam, iaitu Pahang dan Terengganu juga mencatat keputusan seri 1-1.
Hodak yang juga dikenali sebagai Botak itu berkata, meskipun anak didik hanya mampu membawa pulang satu mata, keputusan itu harus dihormati selepas berdepan pasukan lawan yang sukar ditewaskan.
“Semua orang tahu kami terpaksa berdepan cabaran besar berada dalam kumpulan ini (Kumpulan C). Bagi saya, mengutip lima mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah adalah satu kejayaan buat Kelantan dalam pusingan pertama peringkat kumpulan.”
Jurulatih Croatia itu juga menyifatkan, The Red Warriors (TRW) masih berpeluang untuk mendapatkan mata yang cukup bagi melepasi peringkat kumpulan apabila mempunyai dua lagi perlawanan di tempat sendiri dalam pusingan kedua.
Kelantan kini berkongsi mata dengan Pahang apabila masing-masing mengumpul lima mata namun dibezakan jumlah jaringan.
“Peluang semua pasukan dalam Kumpulan C kini seimbang untuk layak ke pusingan suku akhir. Kita mempunyai kelebihan untuk baki tiga perlawanan lagi apabila dua daripada perlawanan itu di tempat sendiri.
Walaupun TRW mempunyai rekod baik beraksi di gelanggang sendiri, Hodak tidak akan sesekali memandang mudah keupayaan pihak lawan yang berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV).
“Fokus utama kami untuk perlawanan seterusnya adalah untuk mengelakkan daripada terus tercicir mata. Semua pasukan mahu menang dan pemain saya harus bekerja lebih keras.
“Sekiranya kami berjaya mencipta dua kemenangan dalam tiga baki perlawanan, saya percaya ia cukup untuk kami layak ke suku akhir.”
www.sports247.my

#kelate.net

Diikat NS Tak Jejas Semangat Hodak



Bojan Hodak
Kota Bharu: Biarpun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Negeri Sembilan, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam kelmarin, ia tetap tidak memberi tekanan kepada ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak terhadap kedudukan pasukan juara bertahan itu dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
Sebaliknya, jurulatih itu menganggap peluang seimbang dimiliki semua pasukan dalam Kumpulan C, malah tetap optimis The Red Warriors (TRW) mampu melepasi cabaran kumpulan maut itu.
“Semua orang tahu kami terpaksa berdepan cabaran besar berada dalam kumpulan ini. Bagi saya, mengutip lima mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah adalah satu kejayaan buat Kelantan dalam pusingan pertama peringkat kumpulan,” katanya semalam.
Di Kuantan, jurulatih Pahang, Dollah Salleh ternyata kecewa dengan persembahan anak buahnya apabila mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Terengganu kelmarin.
“Semua pemain seolah-olah hilang arah dan bermain sambil lewa hingga membenarkan lawan menjaringkan gol seawal minit ketujuh. Kita sebenarnya bernasib baik kerana berjaya menyamakan kedudukan terutama tidak membenarkan lawan membawa pulang tiga mata,” katanya.
www.bharian.com.my

#kelate.net

Wednesday, 28 August 2013

Negeri Sembilan 1 - 1 Kelantan

Negeri Sembilan’s Nazrin Nawi rose to the occasion and tormented the Kelantan defence
On paper, last night’s Group C match between Negeri Sembilan and Kelantan looked to be in the Red Warriors’ favour, considering the vast difference in the two teams’ fortunes this season. However, Negeri Sembilan have always been a Malaysia Cup team and the final scoreline, 1-1 proved that they are intent on taking the cup with them to the Premier League next season.
On the back of the Jangs’ gritty performance against Kelantan after trailing behind in the first half, is their winger Nazrin Nawi’s unerring determination to help his team earn a point at home, against his hometown team.
He was uncharacteristically quiet in the first half, and Negeri Sembilan accordingly looked lethargic and uninventive without his usual slaloming runs. And this led to them going behind to the visitors in the first half.
However when the second half resumed, the 25-year-old came alive to threaten the Kelantan defence, dribbling into their penalty box confidently, and exchanging touchlines with his teammate on the other side of the pitch. This bore fruit in the 60th minute when his low cross found Leandro Fabio to make it 1-1.
It is this kind of sterling performance that has made the Tumpat, Kelantan-born player one of the few bright sparks in an otherwise poor season for Negeri Sembilan, which also means that he is a target for several teams for next season, including Kelantan themselves. Kelantan are surely going to have to step up their effort to sign him, after being at the receiving end of Nazrin’s performance themselves.
www.goal.com
#kelate.net

#tkdop translate ... haha

Kelantan Tidak Ambil Mudah Lawan Negeri Sembilan

Bojan Hodak
KOTA BHARU – Kelantan mahu meneruskan momentum kemenangan berdepan Negeri Sembilan pada aksi ketiga Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, malam ini.
Meskipun masih segar dengan kemenangan menewaskan seteru tradisi Terengganu 2-0 Sabtu lalu, pengendalinya, Bojan Hodak enggan mendabik dada, sebaliknya meramalkan pasukannya bakal berdepan ujian getir dalam perlawanan tersebut.
Hodak berkata, Negeri Sembilan pasti bangkit dan beraksi bermati-matian selepas mereka tumbang 5-3 kepada Pahang pada perlawanan Sabtu lalu.
“Mereka (Negeri Sembilan) merupakan salah satu pasukan yang liat untuk ditewaskan. Walaupun kalah kepada Pahang tempoh hari, namun mereka kuat bekerja dan berjaya bangkit menjaringkan tiga gol walaupun ketinggalan.
“Kesungguhan tersebut membuktikan kemampuan mereka tidak boleh diambil mudah. Oleh itu kita perlu kuatkan mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam pada itu, Kelantan menerima khabar gembira apabila penyerangnya Ahmad Fakri Saarani yang digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning dalam aksi pertama dengan Pahang lalu sudah bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan itu.
Hodak memberitahu, kehadiran Ahmad Fakri dijangka memberikan variasi pilihan kepadanya untuk merencana ketajaman penyudah di bahagian serangan The Red Warriors.
“Saya yakin dan percaya ketumpulan jentera serangan dijangka dapat diatasi dengan kehadiran pemain berkenaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hodak berkata, jika The Red Warriors menang pada perlawanan itu, pasukannya dijangka mempunyai kelebihan untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Kita masih ada empat perlawanan termasuk malam esok (ini). Apa-apa pun boleh berlaku, tetapi saya percaya jika menang malam esok (ini). Ia akan menjadi suntikan moral buat pemain untuk menghadapi baki perlawanan selepas ini,” ujarnya.

#kelate.net

Monday, 26 August 2013

Hodak Kecewa Jentera Serangan Tumpul


Penyerang Kelantan, Dickson Nwakaeme (kanan) diasak pemain Terengganu, Vincent Bikanapada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.
KOTA BHARU – Biarpun berjaya mengutip tiga mata penuh dengan menumpaskan Terengganu 2-0 dalam aksi kedua Piala Malaysia kelmarin, namun pengendali Kelantan, Bojan Hodak tetap kecewa kerana ketumpulan jentera serangan menyebabkan The Red Warriors gagal berpesta gol.
Tegas Hodak, jentera serangannya gagal menyudahkan banyak peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan tersebut dan beliau memandang serius situasi itu menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan, esok.
“Saya harap masalah ketumpulan jentera serangan yang dialami Kelantan dapat diperbaiki dengan segera kerana saingan akan menjadi lebih sengit selepas ini.
“Namun begitu, saya percaya masalah ini dapat pulih tidak lama lagi kerana Dickson Nwakaeme semakin mendapat rentak sebenar dengan menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.
“Anda boleh lihat bagaimana dia berusaha keras dan berjaya membentuk gandingan mantap bersama Mohd. Nor Farhan Mohamad, Indra Putra Mahyuddin dan Piya (Mohd. Badhri Radzi) pada perlawanan tersebut,” katanya semalam.
Pada perlawanan kelmarin, Kelantan meledak gol pertama pada minit ke-10 apabila Nwakaeme yang tidak dikawal melonjak tinggi untuk menanduk bola hasil lambungan ketua pasukan Mohd. Badhri.
Pemain gantian, Zairol Anuar Zailani menambah derita Skuad Peteh dengan menyumbat gol kedua menerusi sepakan percuma terus dari jarak 25 meter.
Seandainya, ketumpulan jentera serangan tidak menghantui The Red Warriors berkemungkinan besar, juara bertahan itu mampu berpesta gol dalam perlawanan tersebut selepas melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat.

#kelate.net

Serangan Kelantan Masih Tumpul


NWAKAEME (kanan) dicabar hebat oleh pertahanan Terengganu, Vincent Bikana(15) pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.
JENTERA serangan Kelantan yang diterajui awang import, Dickson Nwakaeme dilihat masih tumpul meskipun The Red Warriors berjaya membenam Terengganu 2-0 dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia 2013 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Situasi tersebut diakui sendiri oleh pengendali Kelantan, Bojan Hodak selepas barisan serangannya gagal menyudahkan deretan peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan tersebut.
Hodak berkata, beliau memandang serius situasi tersebut dan berharap tempoh yang ada menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan malam esok, akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Harapan saya agar ketumpulan jentera serangan yang dihadapi oleh pasukan Kelantan dapat diperbaiki dengan kadar segera kerana saingan akan menjadi lebih sengit selepas ini.
“Begitupun, masalah ini akan kembali pulih tidak lama lagi dan Nwakaeme semakin mendapat rentak sebenar dengan menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.
“Anda boleh lihat bagaimana dia berusaha keras dan berjaya membentuk gandingan mantap bersama Mohd. Nor Farhan Mohamad, Indra Putra Mahyuddin dan Piya (Mohd. Badhri Radzi),” kata Hodak ketika ditemui pemberita semalam.
Pada aksi kelmarin, Kelantan memperoleh gol pertama pada minit kesepuluh apabila Nwakaeme yang tidak dikawal berjaya melonjak tinggi untuk menanduk bola hasil lambungan Badhri.
Pemain gantian, Zairol Anuar Zailani menambah derita skuad Peteh dengan meledak gol kedua menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter.
Jika tidak kerana ketumpulan jentera serangan, The Red Warriors berkemungkinan besar berpesta gol dalam perlawanan tersebut.
Terengganu juga seharusnya berterima kasih kepada barisan pertahanan dan penjaga gol, Mohd. Sharmiza Yusoff yang banyak memainkan peranan dalam mengekang setiap asakan Kelantan sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
Hodak memberitahu, jaringan awal yang dihasilkan oleh Nwakaeme menjadi pembakar semangat barisan pemainnya dengan menguasai hampir keseluruhan perlawanan menerusi asakan bertali arus ke kubu pasukan lawan.
“Saya gembira dengan keputusan semalam (kelmarin) dan melihat Kelantan telah kembali pada landasan sebenar.
“Jadi saya berharap momentum tersebut dapat diteruskan menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan di Paroi, Selasa ini (malam esok),” katanya.

#kelate.net

Risau Jentera Tumpul


Pergerakan penyerang Kelantan, Nwakaeme (kanan) sering terbatas apabila dibayangi tonggak import Terengganu, Vincet Bikana pada aksi kedua-dua pasukan, malam kelmarin.
ANDAI berpandukan corak permainan Kelantan, penyandang juara Piala Malaysia itu masih belum boleh mendabik dada untuk memasang impian lebih awal mara ke saingan suku akhir musim ini.
Kegagalan jentera penyudah memanfaatkan peluang terhidang ketika menewaskan musuh tradisi, Terengganu 2-0 malam kelmarin menjadi cabaran besar buat Ketua Jurulatih, Bojan Hodak untuk mengubati ‘penyakit’ yang membelenggu pasukannya itu.
Malah pengendali dari Croatia itu akui kesuntukan masa untuk memperbaiki ketumpulan jentera serangan apabila pasukannya perlu bertolak ke Paroi hari ini untuk menghadapi Negeri Sembilan, malam esok.
“Masalah kami ialah penyudah tumpul. Pemain kami melakukan serangan dan mencipta banyak peluang namun gol yang dinanti tidak kunjung tiba. Saya perlu mengatasi kelemahan ini sebelum pertemuan dengan Negeri Sembilan.
“Masalah penyerang, kadangkala bila ada peluang, tapi mereka lepaskan. Apabila sudah menjaringkan gol, tiap-tiap perlawanan pula mereka mengganas. Ini berkait rapat soal keyakinan pemain sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Dickson Nwakaeme namun terpaksa menunggu lebih sejam sebelum meraih gol kedua hasil sepakan bebas Zairo Anuar Zalani pada minit ke-73.
Namun jika jentera serangan tidak mensia-siakan deretan peluang, barisan pemain The Red Warriors seharusnya mampu mengukir senyuman dengan berpesta jaringan ke atas musuh tradisinya.
Dalam pada itu, Hodak memberitahu, kemenangan 2-0 ke atas Terengganu sebenarnya sudah memadai buat pasukannya sambil turut memuji kekentalan benteng pertahanan yang tidak membenarkan gawang mereka dibolosi.
“Kami bermula dengan baik apabila menjaringkan gol pertama namun sepakan penalti oleh Obinna Nwaneri gagal menepati sasaran. Babak kedua, kita buat rombakan terhadap jentera tengah dan hanya menunggu serangan balas untuk mendapatkan gol kedua.
“Terengganu juga beraksi dengan baik sekali gus menyukarkan kita menambahkan jaringan,” katanya.
#kelate.net

Isu Dadah Pemain : KAFA Ambil Sikap Kunci Mulut


Annuar Musa
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil keputusan untuk ‘mengunci mulut’ daripada mengulas isu membabitkan seorang tonggak pertahanan The Red Warriors yang disyaki gagal ujian doping selepas perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu.
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menggunakan pendekatan tersebut yang merupakan sebahagian daripada peraturan bagi mengelakkan ‘subjudis’ kerana Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum membuat keputusan berhubung isu berkenaan.
“Apa jua perkara yang masih dalam proses perbicaraan, jika KAFA membuat kenyataan kepada media ia menjadi satu kesalahan. Kita khuatir ia akan mengganggu proses perbicaraan yang belum selesai dan bercanggah.
“Sebab itulah dalam isu doping ini kita berbuat demikian dan ia merupakan sebahagian daripada peraturan yang perlu diikuti, jadi langkah terbaik ialah dengan berdiam diri daripada memberi sebarang kenyataan. KAFA sangat peka kepada peraturan dan prosedur, ia telah menjadi sebahagian daripada amalan dalam pengurusan,” katanya ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama warga kerja Mara Kelantan di sini, semalam.
Annuar memberitahu, kes tersebut menjadi lebih rumit apabila FAM mengeluarkan kenyataan awal sedangkan perbicaraan masih belum berjalan.
“Bila Pengurusi Jawatankuasa Tatatertib kata ‘saya akan membicarakan orang itu’ ia boleh menimbulkan polemik. Sepatutnya beliau tidak boleh keluarkan apa-apa kenyataan sehinggalah proses tersebut selesai, barulah tidak timbul sebarang polemik,” ujarnya lagi.
Katanya, setiap kali aksi final pemain pasukan yang beraksi dalam perlawanan tersebut akan menjalani ujian doping secara rawak.
Annuar berkata, jika positif ujian pertama, pemain berkenaan boleh melakukannya buat kali kedua di India untuk mengesahkan keputusan tersebut selari atau tidak dengan yang awal.
“Bila habis proses tersebut, barulah pergi ke Jawatankuasa Tatatertib.
“Jawatankuasa Tatatertib ada proses dia termasuklah menghukum dan keputusan ujian doping itu tidak terhenti di situ sahaja.
“Ada proses rayuan dan Jawatankuasa Tatatertib harus memberi peluang kepada pemain terbabit untuk membuat penjelasan berhubung apa yang di ambil. Jika ubat, ubat apa yang dimakan, jika dadah, jenis apa yang diambil,” jelasnya.
Dalam pada itu, Annuar mengesahkan pemain tersebut terus digantung sebaik sahaja didapati positif dan ia sama sekali tidak menjejaskan tumpuan pasukan.

#kelate.net

TRW Raih Kemenangan Pertama


Penyerang Kelantan, Indra Putra diasak dua pemain Terengganu dalam saingan Piala Malaysia, malam tadi.
KOTA BHARU – Juara bertahan, The Red Warriors meraih kemenangan pertama dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia  setelah menewaskan musuh tradisi, Terengganu 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan Kelantan menduduki tangga kedua Kumpulan C setelah berkongsi mata dengan Pahang yang turut melakarkan kemenangan bergaya 5-3 ke atas Negeri Sembilan dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Paroi.
Kelantan bermula garang ketika perlawanan baharu memasuki minit kelima apabila Mohd Norfarhan Muhammad melakukan hantaran silang sehingga mencetuskan situasi kelam-kabut di depan gawang Terengganu namun rembatan leret Mohd Faiz Subri tersasar di sebelah kanan.
Terengganu yang turun dengan misi memburu kemenangan melakukan serangan balas pantas tiga minit kemudian setelah Indra Putra Mahayuddin hilang bola di kawasan tengah padang  namun hantaran lintang G Puaneswaran gagal disambut rakan sepasukannya.
Dickson Nwakaeme bagaimana pun memastikan Kelantan berada di depan apabila meledakkan gol pertama dua minit kemudian. Hantaran lambung Kapten, Mohd Badhri Radzi dari tengah berjaya memerangkap Vincent Bikana sekali gus membolehkan penyerang import Nigeria itu menanduk masuk menewaskan Mohd Shamirza Yusoff.
Tertekan dengan jaringan tersebut, Terengganu kembali mengatur serangan pada minit ke-12. Hasilnya Jean Emmanuel Effa Owona sempat melepaskan rembatan meski pun dikawal ketat pertahanan tuan rumah namun terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Tuan rumah kembali mempamerkan aksi menghiburkan di hadapan hampir 12,000 penyokong setia apabila Indra Putra mencipta peluang dua minit kemudian dengan menolak bola ke belakang untuk Nwakaeme namun rembatan derasnya terus ke dakapan Mohd Shamirza.
Pelawat bagaimana pun hampir mengimbangi kedudukan pada minit ke-15 apabila Mohd Ashari Samsudin melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti setelah mengutip tandukan ke belakang Effa Owona namun tiang gol pula menjadi penghalang.
Menuju minit ke-22, Kelantan hampir menggandakan jaringan apabila Indra Putra memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Sang Penyu namun rembatan kencangnya terkena bucu sebelah kiri gawang pelawat.
Tindakan Ketua Pasukan Terengganu, Hasmizan Kamarodin melakukan kekasaran ke atas Mohd Norfarhan pada minit ke-26 mengundang padah apabila pengadil, Abd Nafeez Wahab tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.
Namun Obinna Nwaneri yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan tersebut mensia-siakan peluang keemasan untuk membawa Kelantan lebih selesa di depan apabila rembatannya berjaya ditepis keluar Mohd Shamirza.
Pelawat yang lega dengan situasi tersebut turut mempunyai peluang pada minit ke-42 apabila Mohd Ashari menyambut umpanan ke belakang Effa Owona namun rembatan pemain yang terkenal dengan jolokan ‘The Silent Killer’ itu sedikit tersasar di sebelah kiri gawang Kelantan.
Minit-minit akhir babak pertama, Terengganu sekali lagi nyaris-nyaris menyamakan kedudukan namun Hasmizan gagal menolak masuk ke gawang tuan rumah berpunca sepakan penjuru Khairan Eruan Razali.
Memasuki babak kedua, Kelantan melakukan pertukaran pertama dengan memasukkan Zairul Fitree Ishak beraksi di bahagian sayap kiri namun kedua-dua pasukan tampak memperlahankan rentak permainan.
Hanya gerakan satu dua menarik di antara Nwakaeme bersama Mohd Norfarhan pada minit ke-49 mencuri perhatian namun rembatan penjaring gol kemenangan Kelantan dalam final Piala FA itu tersasar tinggi.
Ini disusuli percubaan Mohd Norfarhan sekali lagi pada minit ke-59 turut gagal menghasilkan jaringan sementara rembatan Mohd Badhri empat minit kemudian dari luar kotak penalti juga melewati gawang Terengganu.
Tertekan memburu jaringan penyamaan, Elavarasan akhirnya membuat dua pertukaran serentak pada minit ke-64 apabila memasukkan Farderin Kadir dan Mohd Fakrurazi Musa namun itu tidak banyak mengubah jentera tengah dan serangan mereka.
Sebaliknya, Kelantan terus menampilkan aksi berbisa dua minit kemudian apabila Zairo Anuar Zalani bijak menolak bola kepada Nwakaeme sebelum penyerang bertubuh sasa mengumpan pula kepada Indra Putra namun rembatan pemain sayap itu tinggi melepasi gawang pelawat.
Satu-satunya peluang terbaik Terengganu hadir pada minit ke-70 apabila Mohd Ashari melakukan umpanan kepada Farderin namun percubaan bekas penyerang Felda United FC itu hanya tersasar beberapa meter di sebelah kanan gawang tuan rumah.
Kebuntuan jaringan lebih sejam perlawanan berlangsung bagaimana pun terlerai bagi Kelantan apabila Zairo Anuar akhirnya mencetak nama selaku penjaring gol dalam perlawanan malam tadi.
Tindakan Bikana mengasari Nwakaeme memaksa pengadil memberikan sepakan percuma pada minit ke-73 dan Zairo Anuar sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila rembatannya terus menerjah jaring sekali gus gagal diselamatkan Mohd Shamirza.
Menghampiri minit ke-78, Kelantan terus ghairah memburu gol ketiga apabila Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim membuat larian ‘overlapping’ dan melakukan hantaran silang mengelirukan namun Mohd Shamirza sempat melayangkan badan untuk menepis keluar bola.
Tempoh 10 minit terakhir ternyata tidak memberi apa-apa erti buat bekas juara Piala Malaysia musim 2001 itu untuk sekurang-kurangnya memperoleh gol sagu hati apabila segala usaha mereka menembusi gawang terutama menerusi Effa Owona sering dipatahkan benteng pertahanan tuan rumah.

#kelate.net

Ben 10 Idam 11 Terbaik


Mohd Norfarhan Muhammad
Kota Bharu: Penyerang Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad mengidam untuk berada dalam kesebelasan utama ketika melayani kunjungan Terengganu dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Pada perlawanan menentang Pahang, Selasa lalu, Mohd Norfarhan atau lebih dikenali sebagai ‘Ben 10′ hanya diturunkan sebagai pemain simpanan namun tidak dinafikan pemain yang berasal dari Kuala Terengganu itu mempunyai kemampuan merobek gawang lawan.
Norfarhan berkata, selepas gagal mendapat mata penuh di Kuantan, Selasa lalu, The Red Warriors (TRW) perlu bangkit dan beraksi garang di gelanggang sendiri supaya tidak memberi ruang kepada lawan untuk menyerang.
Katanya, berikutan Ahmad Fakri digantung satu perlawanan kerana menerima kad merah pada perlawanan pertama, Norfarhan kini mempunyai peluang untuk beraksi sebagai pemain utama.
“Kami tidak kecewa kerana tetap bernasib baik berjaya mencuri satu mata. Namun kami akan bangkit ketika menentang Terengganu.
“Mungkin saya berpeluang berada dalam kesebelasan utama dan jika mendapat peluang itu, saya akan mencuba yang terbaik untuk menjaringkan gol bagi membantu pasukan mendapatkan tiga mata,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, seperti biasa anak didiknya tidak mempunyai masalah beraksi di laman sendiri ketika berdepan skuad kendalian E Elavarasan.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 41 tahun dari Croatia itu tetap mengingatkan anak didiknya supaya berhati-hati dengan kebangkitan Terengganu selepas pasukan lawan tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan pertama.
“Kita perlu yakin ketika beraksi di tempat sendiri namun Terengganu pastinya akan bangkit untuk memburu tiga mata di tempat kita, saya harap pemain berhati-hati dengan keadaan ini,” katanya.
#kelate.net

Isu Doping : Pemain TRW Mohon Maaf


Pemain Kelantan yang dikaitkan dengan isu doping.
TRW tekad kutip 3 mata dalam perlawanan kedua lawan Terengganu
Kota Bharu: Isu seorang pemain Kelantan disahkan positif dadah tidak melemahkan semangat juara bertahan Piala Malaysia itu yang bertekad mengutip mata penuh dalam perlawanan kedua, Kumpulan C menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata skuad The Red Warriors (TRW) berada pada tahap terbaik menjelang pertemuan dengan pasukan jiran itu walaupun tanpa penyerang, Ahmad Fakri Saarani yang dilayang kad merah ketika pertemuan dengan Pahang tempoh hari.
“Saya yakin semua pemain mahu menebus kekecewaan itu dengan menewaskan Terengganu pada perlawanan malam esok (malam ini) sekali gus mengutip tiga mata berharga.
“Ketiadaan Ahmad Fakri dalam perlawanan ini bukan satu masalah besar buat pasukan kerana Kelantan masih mempunyai ramai pemain yang boleh menggantikan tempatnya termasuk Mohd Faiz Subri dan Mohd Norfarhan Mohamad,” katanya semalam.
Sedikit kelebihan
Kelantan kini berada di tangga kedua Kumpulan C dengan mengumpul satu mata, sementara Terengganu berada di tangga tercorot selepas tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan pertama Selasa lalu.
Hodak yang berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia musim lalu berkata, pasukannya mempunyai sedikit kelebihan pada perlawanan malam ini apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri. Bagaimanapun, jurulatih berusia 42 tahun itu tidak menafikan pasukannya bakal berdepan tentangan sengit daripada anak buah E Elavarasan.
#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets