
Ahmad Fakri (kiri) diberi kepercayaan menerajui serangan Kelantan manakala William Modibo terpaksa diketepikan Negeri Sembilan akibat digantung perlawanan.
APA cara sekali pun, penyandang juara, The Red Warriors wajib menang ke atas Negeri Sembilan pada aksi pertama pusingan kedua peringkat Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Sedar bakal berdepan laluan berliku jika memilih untuk mencatatkan keputusan seri atau tewas kepada bekas juara Piala Malaysia musim 2011 itu, Ketua Jurulatih, Bojan Hodak menuntut anak didiknya mempamerkan corak permainan lebih tersusun dan menutup segala kepincangan bagi memastikan tiga mata mutlak menjadi milik mereka.
“Ia (perlawanan) cukup sengit kerana Negeri Sembilan telah pun buktikannya pada pertemuan tempoh hari. Apa pun, saya percaya kami mampu memadamkan ego Negeri Sembilan di hadapan penyokong sendiri malam ini,” katanya, semalam.
Malah jurulatih berusia 42 tahun itu turut menyifatkan ketiadaan pertahanan import Negeri Sembilan dari Cameroon, William Paul Modibo yang digantung satu perlawanan memudahkan lagi tugas anak buahnya merobek gawang skuad Jang.
Sementara itu, Hodak mengesahkan akan menggandingkan dua penyerang tempatan, Ahmad Fakri Saarani dan Indra Putra Mahayuddin bagi mengepalai jentera serangan malam ini.
Katanya, rombakan itu dilakukan setelah penyerang import sensasi, Dickson Nwakaeme mengalami kecederaan otot pada aksi terakhir di Paroi, Selasa lalu.
#kelate.net