
Pemain Kelantan, Mohd. Faiz Subri (kanan) diasak pemain Negeri Sembilan, William Modibo pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.
KOTA BHARU – Pengendali Kelantan, Bojan Hodak mengakui pasukannya bernasib baik dan terselamat daripada mengalami kekalahan selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Negeri Sembilan dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman dekat Paroi, kelmarin.
Bagaimanapun, Kelantan terpaksa membayar dengan harga yang mahal untuk mencuri satu mata di tempat lawan itu apabila penyerangnya, Dickson Nwakaeme mengalami kecederaan dan berkemungkinan tidak dapat beraksi pada perlawanan berikutnya Sabtu ini.
Hodak berkata, barisan pemain Negeri Sembilan wajar diberikan pujian kerana mempamerkan ketahanan mental yang tinggi dan tidak mudah berputus asa walaupun ketinggalan 0-1 kepada Kelantan pada perlawanan tersebut.
“Negeri Sembilan memiliki jentera tengah yang hebat dan sentiasa mempamerkan bekerja keras sehingga menyukarkan pergerakan Kelantan pada perlawanan tersebut.
“Saya akui Kelantan terselamat dari mencatatkan kekalahan pada perlawanan tersebut selepas Negeri Sembilan gagal memanfaatkan beberapa peluang termasuklah sepakan penalti pada babak pertama,” ujarnya ketika dihubungi di semalam.
Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu keempat-empat pasukan yang berada dalam Kumpulan C mempunyai peluang seimbang untuk mara ke peringkat seterusnya.
Mengenai kecederaan Nwakaeme, Hodak memberitahu, penggempur itu cedera pada otot dijangka terlepas aksi selama dua minggu.
www.utusan.com.my
#kelate.net