Bojan Hodak
JURULATIH Kelantan, Bojan Hodak, tetap berpuas hati meskipun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan ketiga kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
Kegagalan juara bertahan itu mendapatkan tiga mata dilihat satu kerugian apabila dua lagi pasukan dalam kumpulan C yang turut berentap semalam, iaitu Pahang dan Terengganu juga mencatat keputusan seri 1-1.
Hodak yang juga dikenali sebagai Botak itu berkata, meskipun anak didik hanya mampu membawa pulang satu mata, keputusan itu harus dihormati selepas berdepan pasukan lawan yang sukar ditewaskan.
“Semua orang tahu kami terpaksa berdepan cabaran besar berada dalam kumpulan ini (Kumpulan C). Bagi saya, mengutip lima mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah adalah satu kejayaan buat Kelantan dalam pusingan pertama peringkat kumpulan.”
Jurulatih Croatia itu juga menyifatkan, The Red Warriors (TRW) masih berpeluang untuk mendapatkan mata yang cukup bagi melepasi peringkat kumpulan apabila mempunyai dua lagi perlawanan di tempat sendiri dalam pusingan kedua.
Kelantan kini berkongsi mata dengan Pahang apabila masing-masing mengumpul lima mata namun dibezakan jumlah jaringan.
“Peluang semua pasukan dalam Kumpulan C kini seimbang untuk layak ke pusingan suku akhir. Kita mempunyai kelebihan untuk baki tiga perlawanan lagi apabila dua daripada perlawanan itu di tempat sendiri.
Walaupun TRW mempunyai rekod baik beraksi di gelanggang sendiri, Hodak tidak akan sesekali memandang mudah keupayaan pihak lawan yang berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV).
“Fokus utama kami untuk perlawanan seterusnya adalah untuk mengelakkan daripada terus tercicir mata. Semua pasukan mahu menang dan pemain saya harus bekerja lebih keras.
“Sekiranya kami berjaya mencipta dua kemenangan dalam tiga baki perlawanan, saya percaya ia cukup untuk kami layak ke suku akhir.”
www.sports247.my
#kelate.net