
Pergerakan penyerang Kelantan, Nwakaeme (kanan) sering terbatas apabila dibayangi tonggak import Terengganu, Vincet Bikana pada aksi kedua-dua pasukan, malam kelmarin.
ANDAI berpandukan corak permainan Kelantan, penyandang juara Piala Malaysia itu masih belum boleh mendabik dada untuk memasang impian lebih awal mara ke saingan suku akhir musim ini.
Kegagalan jentera penyudah memanfaatkan peluang terhidang ketika menewaskan musuh tradisi, Terengganu 2-0 malam kelmarin menjadi cabaran besar buat Ketua Jurulatih, Bojan Hodak untuk mengubati ‘penyakit’ yang membelenggu pasukannya itu.
Malah pengendali dari Croatia itu akui kesuntukan masa untuk memperbaiki ketumpulan jentera serangan apabila pasukannya perlu bertolak ke Paroi hari ini untuk menghadapi Negeri Sembilan, malam esok.
“Masalah kami ialah penyudah tumpul. Pemain kami melakukan serangan dan mencipta banyak peluang namun gol yang dinanti tidak kunjung tiba. Saya perlu mengatasi kelemahan ini sebelum pertemuan dengan Negeri Sembilan.
“Masalah penyerang, kadangkala bila ada peluang, tapi mereka lepaskan. Apabila sudah menjaringkan gol, tiap-tiap perlawanan pula mereka mengganas. Ini berkait rapat soal keyakinan pemain sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Dickson Nwakaeme namun terpaksa menunggu lebih sejam sebelum meraih gol kedua hasil sepakan bebas Zairo Anuar Zalani pada minit ke-73.
Namun jika jentera serangan tidak mensia-siakan deretan peluang, barisan pemain The Red Warriors seharusnya mampu mengukir senyuman dengan berpesta jaringan ke atas musuh tradisinya.
Dalam pada itu, Hodak memberitahu, kemenangan 2-0 ke atas Terengganu sebenarnya sudah memadai buat pasukannya sambil turut memuji kekentalan benteng pertahanan yang tidak membenarkan gawang mereka dibolosi.
“Kami bermula dengan baik apabila menjaringkan gol pertama namun sepakan penalti oleh Obinna Nwaneri gagal menepati sasaran. Babak kedua, kita buat rombakan terhadap jentera tengah dan hanya menunggu serangan balas untuk mendapatkan gol kedua.
“Terengganu juga beraksi dengan baik sekali gus menyukarkan kita menambahkan jaringan,” katanya.
#kelate.net