Thursday, 22 August 2013

Nasib tidak Menyebelahi Kelantan - Pengurus

Azman Ibrahim
KOTA BHARU – Seri 1-1 yang dicatatkan Kelantan dalam aksi pembukaan Piala Malaysia Kumpulan C di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin tetap menggembirakan pengurusan pasukan meskipun terlepas peluang meraih tiga mata.
Pengurus Red Warriors, Azman Ibrahim berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan keputusan tersebut biarpun pasukannya hampir berjaya mencuri tiga mata sebelum pemain import tuan rumah Damino Delano Stewart menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-85.
Menurutnya, dia gembira dengan komitmen pemain yang memperagakan semangat juang yang tinggi biarpun beraksi dengan sepuluh pemain selama 15 minit apabila Ahmad Fakri Saarani dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-64.
“Beraksi dengan sepuluh pemain bukan mudah, namun barisan pemain tidak mudah patah semangat dan berjaya bertahan dengan baik sehinggalah minit ke-85.
“Nasib tidak menyebelahi Kelantan pada perlawanan tersebut meskipun kita lebih dulu berada di hadapan seawal minit kelapan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan cantik ketua pasukan Mohd. Badhri Radzi seawal minit kelapan sebelum Damino Delano Stewart menyamakan kedudukan menjadi 1-1 lima minit sebelum perlawanan tamat.
Kata Azman, rehat selama empat hari sebelum pertemuan kedua dengan Terengganu, Sabtu ini akan digunakan sebaik mungkin untuk memantapkan lagi pasukan dalam usaha meraih tiga mata.
Jelasnya, pertemuan dengan Terengganu dijangka sengit memandangkan pasukan berkenaan yang tewas pada aksi pertama pasti mahu bangkit untuk meraih kemenangan pada perlawanan tersebut.

#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets