
Mohd. Badhri Radzi
KOTA BHARU – Kelantan mahu bangkit dengan meraih kemenangan pada aksi kedua Kumpulan C Piala Malaysia bertemu seteru tradisi Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, esok.
Kapten pasukan, Mohd. Badhri Radzi atau Piya mahu rakan-rakan sepasukan yang beraksi pada perlawanan tersebut memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang dimiliki bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
Mohd. Badhri mengakui kegagalan memanfaatkan beberapa peluang terhidang pada pertemuan dengan Pahang Selasa lalu, menyaksikan pasukannya kempunan untuk meraih tiga selepas sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1.
“Saya harap kelemahan tersebut dapat diperbaiki kerana ia akan merugikan pasukan. Kemenangan pada perlawanan ini amat penting bagi memastikan Kelantan mara ke pusingan berikutnya, sekali gus merealisasikan impian mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia sekali lagi pada tahun ini.
“Berdepan dengan Terengganu bukanlah tugas yang mudah. Mereka pasti akan turun bermati-matian selepas tumpas mengejut kepada Negeri Sembilan pada aksi pembukaan tempoh hari,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jentera tengah Kelantan itu tidak mahu lagi keciciran mata kerana ia akan menyebabkan peluang untuk layak ke pusingan kalah mati selepas ini menjadi semakin sukar.
Katanya, dua tonggak utama skuad Peteh iaitu Abdul Manaf Mamat dan Asahari Shamsudin perlu diberikan kawalan ketat jika tidak mahu berputih mata pada perlawanan tersebut.
“Kedua-dua pemain ini mampu menjadi pemusnah jika diberikan ruang secukupnya pada perlawanan ini. Bagaimanapun kita telah bersedia untuk menghadapi asakan mereka.
“Saya dan rakan-rakan bertekad memberikan aksi terbaik pada perlawanan tersebut dan kelebihan bermain di tempat sendiri menyemarakkan lagi semangat juang para pemain untuk menang,” ujarnya.
#kelate.net