Saturday, 31 August 2013

Misi Kelantan Buru 3 Mata Malam Ini

Mohd Daudsu Jamaluddin
KELANTAN tiada pilihan selain menang ke atas Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini andai mahu meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2013.
Pemain pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin berkata, tidak kira apa juga keputusan sekali pun, tiga mata harus diraih skuad The Red Warriors (TRW) bagi membolehkan pasukan itu menempah tiket awal ke peringkat suku akhir.
Selepas tiga perlawanan, Kelantan kini menghuni tangga kedua Kumpulan C dengan mengumpul lima mata.
“Tiga mata penuh itu amat berharga. Kami tidak mahu kehilangannya dalam pertemuan malam ini.
“Bagaimanapun kami tidak boleh memandang rendah dengan keupayaan Negeri Sembilan, tetapi saya yakin dengan prestasi pemain lain,” katanya.
Mengulas mengenai ketiadaan Dickson Nwakaeme yang mungkin menggugat rentak permainan Kelantan malam ini, Daudsu bagaimanapun menyifatkan ketiadaan pemain itu bukan masalah bagi pasukannya untuk berdepan Negeri Sembilan.
Daudsu berkata, ini dibuktikan apabila pasukannya pernah mencatatkan beberapa kemenangan dalam saingan Liga Super sepanjang musim ini tanpa kelibat penyerang import Nigeria itu.
“Memang sedikit terasa apabila Nwakaeme tiada, namun saya percaya masih ada ramai penyerang yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan beliau.
“Saya yakin kita dapat melakukan sesuatu dalam perlawanan ini dengan syarat rangkaian jentera serangan perlu memanfaatkan setiap peluang terhidang,” katanya.

#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets