Friday, 23 August 2013

Satu Mata Memadai Buat Kelantan

Magis Piya (kiri) masih menjadi apabila hasilkan gol pembukaan Kelantan di Stadium Darul Makmur, Pahang kelmarin.
SATU mata diraih ketika mencatatkan keputusan seri 1-1 ke atas Pahang pada aksi pembukaan tirai saingan Piala Malaysia Kumpulan C di Stadium Darul Makmur, Pahang malam kelmarin dianggap memadai buat penyandang juara, Kelantan.
Pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak berkata, beliau tetap berpuas hati dengan satu mata dibawa pulang ke Kota Bharu meskipun pasukannya hampir menewaskan Pahang.
“Dalam tempoh enam tahun terakhir menyertai kempen Piala Malaysia, Kelantan tidak pernah mendapatkan mata pada perlawanan pertama. Saya gembira kami melakukannya, ia keputusan yang baik tambahan pula pemain saya beraksi cemerlang malam kelmarin.
“Kami berjaya mempertahankan keputusan 1-0 begitu lama namun sedikit kecewa apabila pemain pertahanan tuan rumah, Damion Delano Stewart berjaya menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Pada pertemuan dua gergasi pantai timur itu, Kelantan terlebih dahulu berada di depan menerusi rembatan ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi seawal minit kesembilan namun Stewart muncul penyelamat maruah Pahang apabila menjaringkan gol penyamaan minit ke-85.
Hodak berkata, kegagalan barisan pertahanan mereka mengekang pergerakan Stewart ketika tuan rumah peroleh sepakan penjuru dihukum apabila pemain import dari Jamaica mudah menanduk masuk tanpa mampu  diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
“Orang mungkin melihat ia kesilapan Obin-na Nwaneri yang gagal merantai pemain itu tetapi saya fikir semua pemain pertahanan harus bertanggungjawab atas gol penyamaan tuan rumah,” katanya.
Katanya, fokus pasukannya ialah merangkul tiga mata penuh apabila melayan kunjungan musuh tradisi, Terengganu Sabtu ini.

#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets