
Annuar Musa
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menasihatkan penyokong The Red Warriors (TRW) dan Johor Darul Takzim (JDT) supaya menjaga tatatertib dan tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang ketika menyaksikan perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia yang melibatkan kedua-dua pasukan itu di Stadium Larkin 28 September ini.
Annuar berkata, semua penyokong perlu sentiasa mengingati keselamatan semua pihak ketika berada di stadium supaya tidak mencemarkan nama kedua-dua pasukan.
“Saya faham perlawanan suku akhir di Johor agak panas. Namun saya harap semua menjaga disiplin dan peraturan.
“Jadikan perlawanan itu yang paling aman. Saya juga akan menghubungi Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Baginda amat prihatin.
“Saya juga akan cuba turut hadir pada perlawanan itu nanti,” katanya menerusi laman Facebook.
Untuk rekod, Kelantan melangkah ke peringkat suku akhir setelah menewaskan Pahang 4-0 di Stadium Sultan Muhammad IV manakala JDT yang tewas 0-2 kepada PKNS tetap berjaya mengesahkan slot berdasarkan perbezaan jaringan dengan pencabar terdekat, T-Team.
www.sinarharian.com.my
#kelate.net