
BARISAN pemain Kelantan sudah bersedia menghadapi Johor DT pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Larkin malam ini.
PENGENDALI Kelantan, Bojan Hodak mula melancarkan perang psikologi apabila menyifatkan barisan pemainnya lebih berpengalaman beraksi pada peringkat kalah mati berbanding Johor Darul Takzim (Johor DT), lapor KHAIRI MOHAMAD.
Biarpun sedar Kelantan akan menghadapi tugas sukar apabila bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin bagi menghadapi Johor DT pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia malam ini, Hodak tetap yakin mereka mampu memberi kejutan.
Menurutnya, kemenangan 4-0 ketika menentang Pahang pada aksi terakhir Kumpulan C di Kota Bharu minggu lalu memberi semangat luar biasa kepada barisan pemainnya.
“Sudah pasti ia perlawanan yang sengit, mereka (Johor DT) mempunyai ramai pemain yang bagus tetapi nampaknya kami dianggap sebagai pasukan yang lebih bagus.
“Bermain di Larkin nanti sudah tentu dipenuhi penyokong mereka tetapi kami tetap mahu mendapatkan keputusan yang baik.
“Ia merupakan aksi timbal balik, perlawanan kedua akan berlangsung di Kota Bharu, kami tiada tekanan beraksi di peringkat ini kerana semua pemain sudah mempunyai pengalaman.
“Gol di tempat lawan cukup penting dan kami akan cuba mencari peluang tersebut, semuanya dalam keadaan baik dan kita bersedia,” kata Hodak ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas mengenai persediaan Kelantan, Hodak berkata, tonggak pertahanan, Daudsu Jamaluddin hampir pasti tidak akan dibawa ke Larkin kerana mengalami kecederaan buku lali.
Bagaimanapun, Hodak mampu menarik nafas lega kerana dua lagi pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim dan Zairul Fitree Ishak mampu mengisi kekosongan tersebut.
Ditanya mengenai penyerang import, Dickson Nwakaeme yang dijangka mengetuai jentera serangan Kelantan malam ini, Hodak menjawab: “Bagaimana harus saya mengulas mengenai Dickson Nwakaeme?
“Dia mencipta hatrik ketika kami menentang Pahang (Sabtu lalu). Saya fikir tidak ada sebarang keraguan untuk menurunkannya bertemu Johor DT.
“Saya fikir dia sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk membantu pasukan dan anda boleh saksikan bagaimana dia akan bermain nanti,” jelasnya.
#kelate.net