
Kemasukan Dickson Nwakaeme nyata merubah tempo permainan TRW.
SATU pasti, 11 kena tunggu dan tiga tutup buku. Itulah situasi perjalanan Piala Malaysia 2013 yang kini memasuki aksi terakhir malam ini.
Tanpa diduga, pasukan berstatus kelab PKNS menempah awal slot suku akhir manakala 11 lagi terpaksa bertarung merebut tujuh slot mengiringi anak didik Abdul Rahman Ibrahim.
Paling mengecewakan sudah tentu, Selangor dan Terengganu yang terpaksa mengucapkan salam perpisahan apabila sah tersingkir selepas perlawanan kelima Selasa lalu.
Mengikuti jejak dua pasukan yang penuh dengan kegemilangan ini, Felda United yang rebah 2-5 dilaman sendiri kepada Johor Darul Takzim (JDT) di Temerloh.
INTAI LAWAN
The Gladiators yang berkongsi mata dengan Pembunuh Gergasi pastinya mahu membersihkan rekod dicalar lawan dalam aksi sulung Kumpulan A.
Begitu juga Sime Darby yang dilihat konsisten walaupun hanya dibarisi pemain muda yang digilap jurulatihnya, Ismail Zakaria.
Mengintai peluang ke suku akhir pastinya Johor walaupun berada ditangga ketiga dengan enam pungutan mata, aksi di Shah Alam menentang Selangor yang telah terkeluar wajar digunakan sepenuhnya seandainya mahu pergi jauh.
KENDURI GOL
Sebanyak 12 gol terhasil pada aksi Kumpulan B dengan tumpuan pastinya terarah kepada PKNS apabila membenam Felda United 5-0 hasil jaringan Patrick Ronaldinho Wleh (m-22, m-28), Roman Chmelo (m-20, m-66) dan Mohd Nizad Ayub (m-85) memastikan kemenangan mutlak Semut Merah.
Ledakan gol Norshahrul Idlan Talaha (m-16), Nurul Azwan Roya (m-52, m-90 pen), Safiq Rahim (m-62 pen) dan Muhd Hadin Azman (m-75) melengkapkan malam gemilang Harimau Selatan sementara dua gol saguhati Felda United dihasilkan Rudie Ramli (m-73, m-90).
PERLU WASPADA
Penyandang juara Kelantan yang berada dalam Kumpulan C juga masih belum selamat walaupun berkongsi kedudukan dengan peneraju semasa, Pahang.
Namun aksi terakhir dilaman sendiri bertemu Pahang pastinya mahu dimanfaatkan sepenuh pemain Pahlawan Merah kerana hanya kemenangan mengesahkan kedudukan dikelompok lapan terbaik.
Mungkin kemenangan ke atas Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu bakal dijadikan azimat buat anak didik Dollah Salleh sekurang-kurangnya mengutip satu mata dengan harapan Negeri Sembilan juga mencatat keputusan yang sama.
Bagi Terengganu kekalahan kepada jiran setempat, Kelantan 1-3 menutup terus hasrat untuk melangkah lebih jauh dan ia mengulangi pencapaian tahun lalu.
Menentang anak didik Ridzuan Abu Shah di Paroi pastinya mahu digunakan sepenuh E Elavarasan sekurang-kurangnya membalas kekalahan pusingan pertama di Kuala Terengganu sebelum ini.
MASIH BERNAFAS
Gol tunggal dijaringkan Nelson San Martin dipenghujung babak perlawanan menghidupkan sisa perjuangan Kenari untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik.
Perlawanan yang bakal berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan selepas jentera serangan Perak dan Kedah buntu mengegarkan jaring, bisa sebagai pemain import dijelmakan Martin.
Aksi Lions XII dan Sarawak di Stadium Jalan Besar yang lewat sehari nyata membawa tuah buat tuan rumah apabila menewaskan Sarawak 1-0 hasil jaringan Fazrul Nawaz (m-63) untuk berada ditangga kedua liga dengan tujuh mata berkongsi kedudukan dengan Sarawak dan Perak.
Peluang pastinya memihak buat Bujang Senang yang bakal menerima kunjungan Perak di Stadium Kuching, iaitu laman yang belum pernah mengecewakan tuan rumah.
Bagi Kedah pula inilah masa membuktikan keramat Stadium Darul Aman kepada Lions XII kerana kemenangan ke atas Juara Liga Super akan menyaksikan kemaraan ke pentas suku akhir.
TETAP SETIA
Pasti mendebarkan buat 11 pasukan yang bakal berentap malam ini samada bagi pengurus pasukan mahupun peminat setia namun keutamaan adalah semangat kesukanan.
Buat semua pemain, buktikan keupayaan anda usah sangsi penyokong pasti dibelakang anda. Ayuh buktikan…
#kelate.net