
Bojan Hodak
KOTA BHARU – Jika pasukan tempatan lain rancak mengatur perlawanan persahabatan, Kelantan turut tidak ketinggalan apabila memilih untuk bertemu kelab dari Thailand, Yala FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak berkata, pertemuan menentang Yala FC tetap dianggap penting meski pun kelab tersebut sekadar beraksi dalam Liga Divisyen Dua selatan negara berkenaan.
“Kami hanya sempat mengadakan satu perlawanan dalam tempoh rehat dua minggu, tetapi ia amat bernilai bagi saya. Ini bagi memastikan rentak pemain tidak terjejas sebaik saingan Piala Malaysia disambung semula pada 17 September ini.
“Malah aksi persahabatan ini memberi peluang kepada saya untuk menilai prestasi keseluruhan pemain kerana kita akan berdepan tugas sukar dalam dua perlawanan terakhir nanti,” katanya.
Pengendali Croatia itu bagaimanapun tidak dapat menurunkan barisan terbaik pada aksi persahabatan tersebut memandangkan beberapa tonggak utamanya berdepan masalah kecederaan, selain tugasan bersama skuad kebangsaan.
Antaranya, Mohd Shakir Shaari dan Ahmad Fakri Saarani yang kini bersama Harimau Malaya bagi aksi persahabatan menentang China, sementara Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim menyarung jersi skuad Bawah 23 Tahun dalam Pesta Bola Merdeka yang sedang berlangsung ketika ini.
“Apex (Khairul Fahmi Che Mat) dan Mohd Farisham Ismail masih belum berlatih kerana cedera.
“Azizi Matt Rose hampir pulih daripada kecederaan dan mungkin beraksi malam esok, sementara Dickson Nwakaeme akan direhatkan untuk perlawanan menentang Terengganu nanti,” katanya.
Sementara itu, Hodak tetap optimis pasukannya mampu melepasi rintangan sukar dalam ‘kumpulan maut’ untuk mengisi salah satu slot ke suku akhir pada kempen Piala Malaysia musim ini.
www.sinarharian.com.my
#kelate.net