Kota Bharu: Pemain pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Abd Halim mengakui sudah 90 peratus pulih daripada kecederaan dan mahu turun mengemudi benteng The Red Warriors (TRW) menentang Johor Darul Takzim (DT) malam ini.
Pemain muda itu semakin mendapat perhatian selepas beraksi membantu skuad Harimau Muda yang dikendalikan Ong Kim Swee menewaskan Myanmar 2-0 pada final Pestabola Merdeka, 14 September lalu.
Bagaimanapun, selepas kejohanan itu, Nik Shahrul terlepas dua aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia ketika Kelantan menewaskan Terengganu dan Pahang kerana kecederaan lutut.
Nik Shahrul atau lebih dikenali sebagai Pok Nik berkata, kecederaannya kini beransur pulih dan dia sudah mula berlatih sejak seminggu lalu, namun masih memerlukan rawatan fisioterapi bagi memastikan kecederaannya tidak berulang.
Katanya, sesudah terlepas dua aksi peringkat kumpulan, pemain berusia 23 tahun dari Rantau Panjang itu menaruh harapan untuk berada dalam kesebelasan utama sekali gus menjadi benteng ampuh buat gergasi Pantai Timur itu malam ini.
“Saya teruja jika jurulatih menurunkan saya,” katanya semalam.
Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, beliau yakin kesebelasan utama yang diturunkan malam ini mampu mengatasi kehebatan Johor DT selaku tuan rumah.
Katanya, pemain perlu berhati-hati dan mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan perlawanan timbal balik di Kota Bharu, pada 5 Oktober ini.
“Mereka perlu mendapatkan gol di tempat lawan sebagai bekalan,” katanya.
#kelate.net