
Dickson Nwakaeme dijangka tidak dapat bermain sepenuh masa kerana baru pulih daripada kecederaan.
Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menyifatkan tugas berat menanti anak buahnya ketika menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.
Lebih membimbangkan lagi Bojan ialah apabila penyerang berbisa The Red Warriors (TRW), Dickson Nwakaeme dijangka tidak dapat bermain sepenuh masa kerana baru pulih daripada kecederaan.
“Tugas menjadi lebih berat apabila TRW turut kehilangan khidmat tonggak pertahanan muda, Nik Shahrul Azim Ab Halim, yang terpaksa berehat antara dua hingga tiga minggu selepas mengalami kecederaan ketika membantu skuad Ong Kim Swee menjulang kejuaraan Pestabola Merdeka, Sabtu lalu.
Tangga ketika kumpulan
“Apa yang boleh saya katakan mengenai perlawanan dengan Terengganu malam ini ialah tugas paling berat kepada Kelantan kerana perlu mengelak dari tewas dan harus membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata,” katanya semalam.
Kelantan kini berada di tangga ketiga Kumpulan C dan berkongsi lima mata dengan Pahang di tangga kedua. Juara bertahan itu perlu mencipta kemenangan dalam baki dua perlawanan peringkat kumpulan termasuk bertemu Terengganu malam ini sekiranya mahu melangkah selesa ke suku akhir.
Bojan berkata, beliau masih belum membuat sebarang keputusan dan mungkin selepas latihan terakhir nanti, baru memutuskan kesebelasan utama yang bakal diturunkan untuk perlawanan penting ini.
“Walaupun dijangka melupakan khidmat Nwakaeme dan Nik Shahrul Azim, saya tetap menaruh harapan tinggi terhadap kemampuan anak buah lain memikul tugas mencuri tiga mata penting di gelanggang lawan.
“Kami akan turun dengan penuh semangat tanpa sebarang tekanan dan pada masa sama sudah melupakan kekalahan 2-4 kepada Terengganu di stadium sama pada separuh akhir kedua Piala FA 28 Mei lalu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa TRW masih tetap mempunyai tunggak utama yang mampu menggalas tugas untuk merobek gawang Terengganu sekali gus mencerahkan harapan untuk ke pusingan seterusnya.
#kelate.net