PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyarankan agar satu Mesyuarat agung tergempar (EGM) diadakan untuk ahli gabungan bagi menyelesaikan konflik yang berlaku di dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
Menulis di laman Facebook hari ini, Annuar berkata, langkah itu dilihat paling baik kerana isu-isu penting yang menjadi pertikaian boleh dibawa ke EGM secara teratur dan secara tidak langsung ahli gabungan tersebut boleh memutuskan segala dasar secara kolektif.
“Saya cadangkan supaya ahli gabungan mengemukakan usul supaya satu EGM dibuat mengikut peraturan sedia ada.
“Ini kerana, isu isu penting yang menjadi pertikaian boleh dibawa ke EGM secara teratur dan ahli boleh putuskan segala dasar secara kolektif, dengan cara demikian, kita boleh menentukan agar FAM melaksanakan arahan EGM,” kata Annuar.
Tambah Annuar, meskipun Kongres FAM akan diadakan tidak lama lagi, namun kebiasaannya ia dikendalikan mengikut agenda dan kemahuan urus setia.
“Jadi, EGM cara paling baik, ia hanya memerlukan usul dari 1 hingga 5 ahli sahaja. Dan saya rasa sudah tiba masanya soal FAM dibincangkan secara serius dan berdepan. Ini kerana pada saya bola sepak negara berada di kaki ahli gabungan,” jelas Annuar.
Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berterusan menegur badan sukan bola sepak negara itu.
Dalam kenyataannya semalam, beliau dengan lantang membangkitkan beberapa perkara termasuk mengulangi teguran meminta FAM telus dan adil.
Tunku Ismail mempersoalkan layanan FAM terhadap persatuan-persatuan bola sepak negeri yang disifatkan tidak adil seperti dalam kes melibatkan perlawanan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Pahang di mana PBNJ turut dikenakan hukuman, namun tidak diberi ruang untuk membuat rayuan.
Tunku Ismail turut mempertikaikan mengapa FAM tidak membenarkan persatuan atau individu menyuarakan sebarang pendapat dan cadangan bagi mempertingkatkan mutu bola sepak negara.
Ini kerana beliau berpendapat isu penting dalam sukan tersebut harus diberi perhatian dan diketengahkan selain rakyat perlu mengetahui situasi sebenar.
Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana keadaan dalam FAM tiada tanda-tanda akan berlaku perubahan positif biarpun sudah ramai yang tampil membuat teguran sekali gus menegaskan sekiranya ia berterusan, maka 20 tahun dari sekarang kemelut sama akan terus membelenggu bola sepak negara.
Mengulas lanjut Annuar berkata, beliau menyokong tindakan yang dilakukan oleh Tunku Ismail memandangkan selaku ahli gabungan dan juga Presiden PBNJ, beliau sememangnya berhak bersuara.
“Saya dapat memahaminya kerana saya sendiri dan Kelantan pernah melalui episod yang sama. Tunku Ismail adalah Presiden PBNJ yang merupakan ahli gabungan FAM.
“Sehubungan itu baginda bukan saja berhak malah harus bersuara kerana ahli gabungan harus berani bersuara,” ujar Annuar.
Pada 29 Mei lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Pahang yang bertindak selaku tuan rumah pada perlawanan itu didenda RM100,000 kerana empat kesalahan manakala JDT pula didenda RM20,000 kerana dua kesalahan.
Hukuman yang dikenakan ke atas kedua-dua pasukan itu muktamad dan tidak boleh dirayu.
#kelate.net