Saturday, 1 June 2013

KPBSK Puji Sikap Fans Kelantan

KOTA BHARU – Kelab Penyokong Rasmi Bola Sepak Kelantan (KPBSK) memuji sikap dan disiplin yang ditunjukkan penyokong The Red Warriors (TRW) pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Selasa lalu.
Pengerusi KPBSK, Yahya Jamada Ali berkata, kehadiran lebih 4,000 penyokong Kelantan ternyata menyuntik semangat pemain TRW sehingga berjaya melangkah ke pentas final meski pun tewas 2-4 kepada Terengganu dalam perlawanan tersebut.
“Saya gembira apabila tidak menerima apa-apa laporan mengatakan berlaku sebarang insiden buruk sebelum, semasa dan selepas perlawanan tersebut. Ini mencerminkan sikap keterbukaan kedua-dua peminat negeri berjiran itu yang selama ini sering dilabelkan musuh tradisi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
“Saya lihat sudah ada kesedaran dalam kalangan penyokong sendiri bahawa mereka juga tidak mahu elemen keganasan atau budaya samseng dibawa masuk ke dalam bola sepak. Saya harap sikap sedemikian dapat diteruskan bukan sahaja di tempat sendiri malah ketika pergi ke gelanggang lawan.
Yahya Jamada berkata, penyokong juga perlu menjaga nama baik negeri ini bagi memastikan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak dikenakan hukuman denda apabila bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil sempena perlawanan akhir Piala FA pada 29 Jun ini.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai insiden limpahan penyokong yang berlaku pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu, Yahya Jamada menganggap ia berpunca daripada kelemahan kawalan keselamatan tuan rumah.
“Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sememangnya kena bertanggungjawab dalam perkara ini. Tetapi yang menghairankan, macam mana dua atau tiga pintu masuk stadium boleh dipecahkan sehingga mendorong penyokong masuk ke dalam kawasan trek.
“Saya rasa mungkin mereka hendak berselindung disebalik tiket perlawanan yang dijual berlebihan. Bagi saya, insiden seumpama ini tidak seharusnya berlaku di Kuantan, kerana mereka terbukti jauh lebih berpengalaman daripada kita,” katanya.
Menurut Yahya Jamada, sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal mengambil langkah pencegahan bermula daripada sekarang, beliau percaya insiden lebih teruk yang mungkin boleh memalukan bola sepak negara pasti berlaku pada masa akan datang.
“FAM tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu. Apakah hukuman denda ke atas persatuan bola sepak negeri merupakan jalan penyelesaian terbaik? Mereka tidak fikir untuk mendengar cadangan kelab penyokong, sebaliknya hanya memandang sepi setiap kali kita melontarkan pandangan,” katanya.

#Kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets