
Ismail Md Noor
“SAYA harap penyokong beri sokongan padu serta elak perkara yang boleh menjejaskan imej bola sepak Kelantan.”
Itu pesanan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Ismail Md Noor menjelang perlawanan akhir Piala FA The Red Warriors menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Bukit Jalil 29 Jun ini.
Katanya, penyokong Kelantan yang berhasrat ke Stadium Nasional perlu pamerkan disiplin tinggi selain menunjukkan semangat kesukanan terpuji.
“Orang luar selalu menganggap penyokong Kelantan sebagai liar, fanatik dan sukar dikawal. Ini tanggapan yang tidak benar, kalau dahulu (70-an) saya akui tapi sekarang situasi sudah banyak berubah.
“Penyokong semakin cerdik. Saya bukan bercakap kosong kerana sehingga tahun lalu, jumlah denda yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Kafa semakin berkurangan.
“Itu pun (denda RM45,000) kesalahan yang dilakukan di Shah Alam, kalau di Stadium Sultan Muhammad IV setakat hari ini tiada. Ini tanda positif, penyokong terutamanya di Kota Bharu sudah berubah, jadi saya harap perkara sama berlaku di Bukit Jalil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada seminar Memperkasa Kelab Penyokong, Memperdana Budaya Sokongan anjuran Gempita Kelantan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (KMK) di Shah Alam, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi KMK, Mohd Nasir Hamzah.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail enggan mengulas lanjut mengenai ganjaran yang bakal diterima anak buah Bojan Hodak sekiranya berjaya mempertahankan Piala FA.
Biarlah presiden (Tan Sri Annuar Musa) yang ulas,” katanya.