DEBARAN perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim 29 Jun ini mula dirasai dengan kedua-dua pasukan giat melakukan persediaan awal bagi menjayakan misi masing-masing.
Pemain pertahanan Kelantan, Zairul Fitree Ishak menyuarakan perasaan tidak sabar untuk menjulang trofi pertama musim ini sekaligus mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi musim lalu.
Pertahanan kiri berusia 28 tahun itu berkata, pasukannya kini lebih memberi fokus kepada perlawanan akhir bagi memastikan misi membalas dendam selepas tewas 0-2 kepada pasukan kendalian Fandi Ahmad dalam saingan Liga Super, 22 Mei lalu.
“Saya tidak sabar untuk membantu Kelantan membenam Johor Darul Takzim dan menjulang trofi pertama musim ini. Kami sangat dahagakan kejuaraan selepas terlepas mempertahankan kejuaraan Liga Super.
“Kami bukan sahaja mahu menjulang trofi pertama musim ini tapi juga mahu membalas dendam kekalahan kepada Johor Darul Takzim dalam saingan liga tempoh hari.
“Kami mengharungi detik sukar untuk ke pentas final terutama ketika dipaksa bekerja keras pada saingan separuh akhir kedua menentang Terengganu dan adalah satu kerugian jika kami tidak mampu menjulang trofi Piala FA,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Selain itu, Zairul turut mengakui pasukan selatan tanahair itu mempunyai kelebihan dengan dibarisi ramai pemain kebangsaan dan menegaskan skuad The Red Warriors (TRW) akan turun sebagai pasukan ‘underdog’.
Katanya, jurulatih Bojan Hodak mungkin akan melakukan banyak perubahan bagi menghadapi perlawanan getir itu.
“Memang tidak dinafikan mereka adalah pasukan kuat dengan dibarisi ramai pemain kebangsaan. Namun kami juga ada kelebihan tersendiri dan kami lebih selesa dianggap sebagai pasukan underdog dalam perlawanan itu.
“Hodak mungkin mempunyai ramuan terbaik dan melakukan banyak perubahan. Kami mempunyai misi untuk perlawan itu dan akan bermain mati-matian bagi memastikan misi tercapai,” katanya.
www.sports247.my
#kelate.net