PENYELARAS Gabungan Seluruh Penyokong Kelantan (Gempita), Mohd Shaharuddin Abdul Latif menyifatkan seminar yang diadakan hari ini adalah bertujuan untuk mendidik penyokong agar lebih berdisiplin supaya mereka tidak akan lagi dikenali sebagai penyokong yang agresif di dalam stadium mahupun di luar stadium.
Menurutnya dengan mengadakan program sebegitu juga, ukhuwah atau silaturahim akan dapat dicapai sekali gus ia akan menyatukan kesemua kelab-kelab penyokong Kelantan di Malaysia.
“Gempita adalah gabungan kelab-kelab penyokong yang tidak rasmi, tapi hasil daripada inisiatif dan idea dari Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang ingin melihat semua penyokong terutama kelab-kelab penyokong bersatu, jadi kami mengambil inisiatif antara kelab-kelab penyokong yang kebanyakannya berada di Lembah Klang dengan caranya kita bekerjasama di luar stadium.
“Jadi, apabila kelab-kelab penyokong sudah berpadu dan bersatu di luar stadium, maka senanglah kita untuk bergabung di dalam stadium, ini kerana di dalam stadium kita memerlukan satu sorakan yang sama dan sekata.

Penyelaras Gempita Kelantan, Mohd Shaharuddin Abdul Latif bercakap ketika seminar gempita kelantan yang diadakan di Auditorium Kumpulan Media Karangkaf hari ini.
“Justeru itu, saya mengharapkan program ini dapat memastikan kelab-kelab penyokong boleh diperkasakan serta membawa ke arah yang lebih baik,” katanya selepas berakhirnya Seminar Gempita Kelantan 2013 di Dewan Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
Hadir sama, Penolong Bendahari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Mohd Nasir Hamzah, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md Noor, dan Pegawai Pendaftar ROS Selangor, Mohd Roslan Khalid.
Mohd Nasir yang juga Timbalan Pengerusi Media Karangkraf menganggap semangat yang ditunjukkan oleh Gempita Kelantan tidak kira melalui persatuan atau kelab penyokong itu sendiri, antara yang terbaik di Malaysia.
Jelasnya, pujian itu berdasarkan aktiviti yang dianjurkan oleh Gempita yang sering mendapat sambutan hebat daripada semua pihak.
“Sebagai salah seorang daripada penaja dan juga penyedia tempat bagi seminar gempita ini, saya amat mengalu-alukan kedatangan mereka.
“Pada masa sama, saya juga rasa semangat yang ditunjukkan Gempita melalui persatuan atau kelab penyokong membuatkan mereka nyang terbaik di Malaysia ini kerana aktiviti yang mereka anjurkan selama ini dapat sambutan yang hebat sekali, dan tentunya dengan sokongan sinar harian, tidak kira hujan, ribut, kita tetap mengizinkan mereka guna tempat ini sebagai pusat utama kegiatan mereka,” jelas beliau.
video ---> http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=FRvjuIrBDfg