Kota Bharu: Kelantan tidak hanya memberi fokus kepada perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (DT) 29 Jun ini, malah akan menumpukan kepada saingan Liga Super yang masih berbaki empat perlawanan.
Jurulatih Bojan Hodak turut menuntut anak buahnya tidak melupakan saingan Liga Super walaupun The Red Warriors (TRW) mempunyai misi penting mempertahankan kejuaraan Piala FA.
Jurulatih berusia 41 tahun kelahiran Croatia itu berkata, baki empat perlawanan liga juga penting dalam usaha memburu kelompok lima pasukan terbaik.
“Bukan saja final Piala FA yang kita perlu fokus, malah saingan Liga Super juga penting untuk kita memperbaiki kedudukan.
“Walaupun peluang untuk kita mempertahankan kejuaraan liga semakin tertutup rapat, kita masih mampu berada pada kedudukan dalam kelompok lima pasukan teratas.
“Kita mahu mempertahankan Piala FA dan kita juga ingin berada pada kedudukan terbaik dalam liga terutama selaku juara bertahan Liga Super yang kita menangi musim lau,” katanya.
Kelantan bakal berdepan pasukan jiran, Terengganu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 21 Jun ini.
Hodak berkata, beliau yakin anak buahnya sudah melupakan kekalahan 2-4 kepada Terengganu pada separuh akhir kedua Piala FA di Kuala Terngganu 28 Mei lalu.
Katanya, beliau turut menuntut anak buahnya memburu kemenangan pertama ke atas Johor DT selepas dalam dua perlawanan sebelum ini mereka sekadar seri dan tewas kepada pasukan Harimau Selatan.
“Kami akan memperbaiki persembahan buruk ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA dan kami akan membalas dendam pada perlwanan Liga Super 21 Jun ini.
“Kita juga mahu memecahkan rekod tanpa kalah anak buah Fandi Ahmad kepada kita dan perkara itu akan dilakukan pada pentas final Piala FA nanti. “Mungkin banyak perubahan dari aspek taktikal yang akan dilakukan untuk semua perlwananan akan datang,” katanya.
#kelate.net