
Sebahagian penyokong Kelantan bertindak agresif selepas gagal membeli tiket final Piala FA.
Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian penyokong Kelantan mencetuskan kekecohan selepas gagal membeli tiket final Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, kelmarin.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 295 kanun sama, melakukan rompakan berkumpulan.
Mengikut Seksyen 147, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 395 pula, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Terima tiga laporan
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar berkata polis menerima tiga laporan yang dibuat penyokong dan penjual tiket, kelmarin.
“Polis sudah membuka dua kertas siasatan masing-masing mengikut Seksyen 147 dan 295 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini masih belum ada tangkapan dilakukan kerana siasatan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, penjualan tiket final Piala FA di stadium berkenaan kecoh apabila sebilangan besar penyokong Kelantan tidak berpuas hati selepas tiket habis dijual dalam tempoh tidak sampai 15 minit.
Keadaan bertambah buruk apabila mereka bertindak ganas dengan menendang salah satu pintu masuk stadium sehingga rosak dan mengejar kakitangan KAFA sebelum merampas tiket Liga Super membabitkan aksi Kelantan dan Pahang, malam kelmarin.
#kelate.net