Saturday, 30 November 2013

Darby Tetap Waspada

Steve Darby
Shah Alam: Pengalaman cukup mengajar jurulatih baru Kelantan Steve Darby supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman mana-mana pasukan bagi mempertahankan kejuaraan Piala FA musim depan.
Jurulatih dari England itu bukan asing dengan kancah bola sepak tempatan apabila pernah membimbing Johor (1998-2000) serta Perak (2005-2008) dan beliau menganggap masih terlalu awal untuk meramalkan nasib Kelantan.
Biarpun undian Piala FA semalam menyaksikan Kelantan yang mendapat bye pada pusingan pertama akan menentang Kuantan FA atau Sabah di pusingan kedua.
“Kelantan kali ini adalah pasukan yang baru dibentuk selepas ramai pemain berhijrah ke pasukan lain. Saya tidak tahu mengenai kekuatan Kuantan FA tapi Sabah pasukan yang cukup tersusun. Anda akan menjangkakan kami menentang Sabah pada pusingan kedua tapi apa saja boleh berlaku.
“Atas kertas kita lihat Johor DT adalah pasukan pilihan kerana mereka memiliki pemain import hebat dan ramai pemain kebangsaan tapi sebenarnya kita sukar untuk menjangkakan siapa pasukan yang kuat dan pasukan yang lemah,” katanya selepas Majlis Undian Piala FA semalam.
Johor DT yang turut mendapat bye pada pusingan pertama bakal menentang T-Team pada pusingan kedua yang dilihat tidak berdepan masalah untuk menundukkan wakil dari Liga Perdana UiTM FC di pusingan awal kejohanan kalah mati itu yang bermula pada 21 Januari depan.
“Berdasarkan undian, perlawanan pertama kami OK, tapi selepas itu kami akan berjumpa pasukan paling glamour (Johor DT I). Tapi dengan semangat baru, pasukan baru Insya Allah kami akan beri saingan yang baik,” kata Azraai yang berhijrah ke T-Team dari Perak.
Selain itu, antara perlawanan pusingan pertama yang menarik adalah antara juara Piala Malaysia Pahang dengan Perak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Sime Darby, PKNS FC menentang Johor, Negeri Sembilan dan Felda United serta Sarawak dengan Pulau Pinang.
Selangor mendapat undian mudah menentang Harimau Muda C pada aksi pembukaan dan bakal bertemu pemenang antara Sarawak dan Pulau Pinang di pusingan seterusnya.
www.hmetro.com.my

#kelate.net

Juara Bertahan Tersenyum

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) memerhatikan Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim (kiri) menunjukkan kertas undian pasukan Kelantan semasa proses undian Piala FA 2014 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Naib Presiden, Datuk Afandi Hamzah (kanan).
SHAH ALAM – Tiada sebarang laluan mudah menanti pasukan-pasukan pilihan dalam saingan 2014 Piala FA dengan juara Piala Malaysia 2013, Pahang terpaksa bertemu Perak seawal pusingan pertama sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijadualkan berdepan Sime Darby.
Namun, yang paling tersenyum sudah tentu juara bertahan, Kelantan yang mendapat bye pada pusingan pertama sebelum menentang pemenang antara pasukan dari Liga Perdana, Sabah atau pendatang Liga FAM, Kuantan FA dan diramalkan tiada masalah untuk layak ke suku akhir.
Satu lagi pasukan yang mendapat bye adalah Johor Darul Takzim (JDT) yang muncul naib juara pada kejohanan lalu dan diramalkan bakal berentap dengan pasukan yang mendapat sentuhan Mohd Azraai Khor iaitu T-Team yang akan melayani UiTM FC pada pusingan awal.
Satu lagi pasukan yang dilihat mampu menggegar musim depan, Felda United, turut menempuh laluan berduri dengan bertemu Negeri Sembilan dan menanti mereka pada pusingan kedua sama ada ATM atau Sime Darby.
Lain-lain pertemuan memperlihatkan Kuala Lumpur menentang Kedah, Melaka bakal menanti kunjungan Perlis, Lions XII bertemu KL DRB Hicom FC, PKNS membuat perhitungan dengan JDT II dan Terengganu berdepan Pahang Kuantan Port.
Selangor dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk ke pusingan seterusnya dengan pemenang perlawanan Sarawak atau pasukan yang turun dengan imej baru pada musim depan, Pulau Pinang bakal ditemui di pusingan seterusnya.
Menurut jurulatih baharu Kelantan, Steve Darby, dia tidak berani membuat sebarang sasaran dengan meletakkan JDT sebagai pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan, namun tidak mahu memandang rendah akan kekuatan pasukan lain.
‘‘Musim depan masih belum bermula dan dalam bola sepak Malaysia, sukar untuk kita meramalkan apa yang terjadi ditambah kebanyakan pasukan mendapat sentuhan jurulatih baru.
‘‘Piala FA cukup penting buat kami kerana ia menjadi akses melayakkan diri ke Piala AFC, satu-satunya kejohanan yang boleh disertai oleh pasukan dari Malaysia setakat ini.
‘‘Walaupun kehilangan ramai pemain utama dari musim lalu, kehadiran pemain-pemain import seperti Mohamed Shawky yang pernah menjaringkan gol ketika bertemu Brazil di Piala Konfederasi dan kehadiran semula Mohammed Ghaddar, kami tetap rasa sebagai sebuah pasukan yang mantap, ” katanya ketika ditemui selepas majlis undian, semalam.
www.utusan.com.my

#kelate.net

Brendan Sedia Lepaskan Kerakyatan Australia

Brendan Gan
BRENDAN Gan sedia melepaskan taraf kerakyatan Australia demi mewakili Kelantan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Buat masa ini, status Brendan kekal menjadi persoalan kerana Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) telah melengkapkan kuota empat pemain import.
Untuk saingan 2014, import The Red Warriors dibarisi Forkey Doe, Mohamed Shawky, Mohammed Ghaddar serta Obinna Nwaneri yang tampil selaku Penolong Ketua Pasukan 2.
Mempunyai bapa yang merupakan rakyat Malaysia, menjadi asas buat Kafa mendaftar Brendan sebagai pemain tempatan. Begitu pun, taraf kerakyatan Australia dimilikinya tidak memberi Brendan pengiktirafan berkenaan.
Untuk rekod, menurut undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Brendan berhak memilih untuk mewakili negara kelahiran bapanya, tambahan pula dia belum pernah mewakili skuad kebangsaan Australia sebelum ini.
Ketika mewakili pasukan Sabah dua musim lalu, Brendan didaftarkan sebagai pemain import lantas dia mengambil inisiatif sendiri untuk memohon pasport bagi mendapat kerakyatan Malaysia.
“Saya belum mempunyai butiran jelas mengenainya tetapi saya masih cuba untuk jadi pemain tempatan, terpulang kepada Kafa serta FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) untuk membenarkannya.
“Saya amat gembira menyertai Kelantan dan bermain sekali lagi di Malaysia, ia pengalaman yang baik,” katanya pada majlis memperkenalkan skuad TRW 2014 di ibu negara, kelmarin.
Pemain berusia 25 tahun itu juga tidak menolak kemungkinan untuk mewakili skuad senior kebangsaan andai permohonannya menjadi kenyataan.
Sementara itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa ketika diajukan soalan mengenai status Brendan, menjawab: “Kita telah buat permintaan rasmi kepada FAM dan badan induk itu pula nak merujuk kepada AFC, kita tiada masalah mengenainya. Pada masa sama, Brendan telah pun bersetuju untuk memohon pasport Malaysia secara rasmi”.
www.sinarharian.com.my

#kelate.net

Friday, 29 November 2013

Tiga Serangkai Bakal Menyengat

Francis Forkey Doe
GANDINGAN tiga pemain import, Mohamed Ghaddar, Mohamed Shawky dan Francis Forkey Doe bukan saja bakal menguatkan pasukan The Red Warriors (TRW) musim depan, malah mampu membantu pasukan itu mengekalkan reputasi sebagai pasukan bola sepak terbaik negara.
Bekas jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengibaratkan kehadiran tiga pemain import itu sebagai bonus kepada TRW.
Karathu berkata, dengan gandingan tiga pemain itu juga tidak mustahil Gergasi Pantai Timur itu mampu bangkit sebagai sebuah pasukan yang kuat dan mantap.
“Sebenarnya saya masih belum lihat senarai penuh pemain Kelantan musim depan, tapi kalau dari segi penyerang saya lihat satu gandingan yang bagus. Malah gandingan dua pemain Arab dengan Liberia, saya yakin satu bahagian yang akan menyengat.
“Begitu pun, harus diingat dalam pasukan kita tidak boleh bergantung kepada bahagian serangan semata-mata, bahagian pertahanan dan tengah juga perlu untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar.
“Tapi saya yakin pemain muka baharu mampu mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan tonggak utama yang berhijrah malah gandingan pemain muda dan berpengalaman pasti menambah sengat pasukan musim depan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, skuad bola sepak Kelantan mengumumkan secara rasmi senarai pemain yang akan menyarung jersi pasukan itu bagi membawa cabaran pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan Piala AFC 2014.
Mendahului senarai pemain baharu TRW 2014 adalah tiga tonggak import terdiri daripada pemenang Kasut Emas Liga Super 2012, Forkey Doe, penyerang Lubnan yang membantu Kelantan menjulang treble pada 2012, Mohamed Ghaddar dengan meledak 21 gol dan bekas pemain kebangsaan Mesir, Mohamed Shawky yang berjaya memenangi tempat ketiga Kejohanan Kelab Dunia 2006.
Juara Piala FA 2013 itu juga membawa pemain kelahiran Australia, Brendan Gan yang mempunyai bapa warga Malaysia tetapi akan cuba didaftarkan sebagai pemain tempatan.
Sayap Harimau Muda A, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan pemain tengah Malaysia, Amar Rohidan turut menyarung jersi TRW.
“Buat masa ini masih terlalu awal untuk saya menilai barisan pemain baharu yang diperkenalkan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa. Ini keran saya perlu lihat terlebih dahulu aksi mereka dan paling kurang dalam dua atau tiga perlawanan. Selepas itu baru saya boleh nilai sejauh mana barisan baru TRW musim depan.
“Apa pun, saya percaya Kafa sudah membuat penelitian terperinci sebelum mengambil pemain. Jadi saya berharap pasukan baharu yang dibentuk ini akan cepat mendapat keserasian sebelum saingan bermula,” katanya.
Menurut Karathu, Kelantan juga masih mampu meraih kejayaan dengan kekalnya Mohd Badhri Radzi atau Piya yang menjadi perancang utama.
www.sinarharian.com.my

#kelate.net

KAFA , FAS Tak Mengalah

NAZRIAHMAD
Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dilihat tidak mahu berlembut dalam isu membabitkan bekas pemain Johor Darul Takzim (DT), Nazri Ahmad dengan kes berkenaan disahkan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
FAS sudah mengemukakan aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam dengan menegaskan mereka mempunyai bukti mengatakan pemain pertahanan berusia 23 tahun itu sudah menandatangani kontrak untuk beraksi bersama Merah Kuning musim depan.
“Saya ada bukti bahawa dia sendiri sudah menandatangani kontrak perjanjian. Dia bukan bersetuju secara lisan seperti yang didakwa sesetengah pihak,” kata Timbalan Presiden FAS Datuk Mokhtar Ahmad. 
Katanya, FAS bertegas untuk memanjangkan perkara ini kepada FAM dengan melihat tindakan berkenaan boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada mana-mana pemain agar tidak memandang mudah untuk membuat pusingan U.
Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun Facebooknya semalam dilihat turut tidak mahu mengalah apabila menyatakan mana-mana kelab tidak seharusnya mengakui seseorang itu adalah pemain mereka selagi pemain tidak menandatangani kontrak lengkap.
“Tak usahlah mana-mana kelab mengakui seseorang itu pemain mereka selagi pemain tidak menandatangani kontrak lengkap dengan segala butiran serta diperturunkan tandatangan pada setiap muka surat dokumen kontrak. 
“KAFA sudah berkali-kali menghadapi kes ini dan peraturannya adalah jelas, MOU yang di tandatangan atas sehelai kertas tidak diterima pakai, yang terpenting akhirnya pemain itu sendiri berhak memilih untuk beraksi, dalam kes ini amatlah jelas Nazri, Nazwin Nawi, Norfarhan Muhammad, Hairuddin Omar dan yang lain-lain akan beraksi dengan pasukan pilihan masing-masing,” katanya. 
Isu membabitkan Nazri tercetus apabila KAFA memperkenalkan pemain berkenaan sebagai pemain barunya untuk musim depan pada satu majlis kelmarin dengan FAS turut dilaporkan sudah menandatangani kontrak bersama pemain berkenaan. 
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya sudah menerima aduan mengenai kes berkenaan dan akan merujuk kepada Jawatankuasa Status Pemain yang diketuai Datuk Takiyuddin Hassan dalam masa terdekat.
Sumber : Harian Metro/28 November 2013

#Theredwarriorsfc.com

Thursday, 28 November 2013

Mohamed Ali Abu El Yazid Shawky Of Kelantan FA 2014



Mohamed Shawky ketika mewakili pasukan Middlesbrough dalam Liga Perdana Inggeris musim 2007–2010.
Kisah ini sebenarnya ada Part I dan Part II. Tak boleh terburu-buru kerana faktor utama terpaksa mendalami musim suram Shawky pada tahun 2012 dan 2013.
Sebenarnya secara jujur saya mengikuti kisah perjalanan pemain ini sehingga tahun 2011 sahaja selepas mengetahui beliau meminta perlepasan atau di loan keluar oleh Al Ahly selepas bergaduh dengan Jurulatih Al Ahly yang baru ketika itu iaitu Hossam El Badri.
Harapnya beliau tidak fobia mendengar nama ketua pasukan kelab barunya di Kota Bharu iaitu Badhri Radzi menyerupai nama lelaki seterunya di Al Ahly yang mengakhiri karier gemilang beliau di Al Ahly. Beliau malahan meminta untuk namanya tidak di daftarkan bagi musim 2012.
Selepas itu kariernya terumbang-ambing diselangi masalah kecederaan prone di kawasan Ligamen yang berpanjangan membataskan peningkatan persembahan. Cerita itu akan masuk ke Part II kerana Part I sangat gemilang untuk dikisahkan.
Sekitar 2001 memasuki musim bunga di bumi Damanhour saya menghabiskan sisa percutian kuliah dengan mendatangi skrin besar di kedai Pizza dan Shisha bernama Rashidi Coffee Shop untuk melayani kejohanan yang didambakan oleh rakyat Mesir untuk melihat bakat pemuda mereka didalam kejohanan FIFA World Youth Cup U-20 yang berlangsung di Buenos Aires Argentina.
Tujuan saya untuk mengikuti bakat-bakat baru dari negara Albiceleste yang saya minati dengan persembahan Tango mempertaruhkan prospek bakat seperti Saviola, D’Allesandro dan Maxi Rodriguez.
Namun kerana terhadnya untuk melanggan siaran bolasepak berbayar di rumah sewa, terpaksa menyertai rakyat Mesir yang menonton pasukan kebanggaan mereka Muntakhab Masr dengan membawa bendera, muffler dan topi berlambang negara Mesir.
Oleh itu jika jadual perlawanan bertindan, terpaksa saya menonton perlawanan melibatkan Mesir, akhirnya banyak mengikuti pasukan yang dilatih oleh Shawki Gharib ini.
Pasukan remaja Mesir bermain gaya berbeza dengan pasukan utama mereka, lebih menerapkan gaya bertahan moden yang bermain Counter Attack, berbeza gaya attacking Mahmoud Al Gohary yang bermain menyerang dengan gandingan Hazem Emam bersama Ahmad Hassan di tengah dan kawasan serangan diketuai Khalid Bibo yang begitu tajam sentuhan penyudah.
Pasukan senior tidak menetapkan gaya bertahan lalu mengenepikan pemain tengah yang berwatak Defensif. Berbeza pasukan Junior atau Lilnaasyiin meletakkan dua pemain tengah yang kedua-duanya bertahan. Faktor penyumbang kekuatan pasukan Junior Mesir dalam kejohanan itu ialah menggabungkan Hossam Ghaly dan Mohamed Shawky, gaya moden nya mereka berdua boleh bertahan dan menyerang dalam satu masa yang sama.
Kedua mereka dalam gandingan yang bergerak laju, dengan langkah dan movement yang tak terfikir, mereka bukan supply bola terus kepada penyerang utama iaitu Mohamed El Yamani tetapi bola bergerak melalui sayap penyerang Abou Greisha dan Gamal Hamza dua penggembur flanker dari Ismaily dan Zamalek bergabung untuk supply bola kepada Yamani.
Ini satu pendekatan baru dalam perubahan era bolasepak moden yang baru bagi Mesir, yang ketandusan bintang dalam kejohanan besar yang di harapkan iaitu menjuarai ACN serta layak ke World Cup dalam slot wakil negara Afrika.
Di kejohanan sebesar ini begitu ramai mata-mata dari kelab besar dan elit di Eropah dan lain-lain memerhati bakat muda, tak hairan Saviola disambar Barcelona, Cisse disambar Liverpool, Kaka disambar Ac Milan, Essien disambar Lyon dan Shawky bersama gandingannya Ghaly masing-masing disambar Middlesbrough dan Tottenham.
Selepas kelahiran pemain Defensive Midfielder berbakat dari Egypt, berubah gaya permainan pasukan Senior Mesir dengan melahirkan ramai Def Mid berbakat selepas Shawky dan Ghaly, lahir Hosny Abdo Rabo, Hassan Mostafa, dan sekarang yang paling memikat ialah El Ninny mewakili Basel FC di Switzerland dan Omar Gaber yang mewakili Zamalek.
Mereka ini yang menampung pergerakan Ambrator atau Living Legend pasukan Mesir iaitu Abou Treka. Semua perwatakan mereka sama, dari jenis Def Mid yang boleh naik keatas bergerak dengan langkah luas dan menolong menggerakkan serangan, ini membayangkan pemain-pemain bergeliga dari Mesir yang berposisi CM sebenarnya mempunyai tenaga, kelajuan dan penguasaan keluasan kawasan yang sangat berbisa.
Shawky seorang pemain bertipikal mempunyai langkah luas, gemar membuat passing dekat dan berlari tanpa henti ke semua kawasan tengah dan mempunyai pilihan samaada berpaling kebelakang atau meluaskan bola ke depan.
Kita boleh membayangkan gaya Stephen Appiah, Yann M’vila atau Ramires. Pemain tengah yang bebas namun lebih banyak turun bertahan apabila diasak.
Kelebihan Shawky juga mempunyai tendangan padu, selain mempunyai susuk tubuh tinggi dan tegap, sebab itu menjadi kegilaan kelab terutama di England yang mahukan pemain tengah tinggi, bermain gaya Long Ball dan persaingan bola dihantar ketengah dengan kadar hantaran tinggi.
Sehabis pulang menduduki tempat ke-3 didalam kejohanan remaja, pemain kelahiran Port Said yang berbangga dengan Terusan Suez ini mewakili kelab Port Said Al Masry akhirnya memikat pasukan gergasi Mesir, Al Ahly.
Kelab digelar Pasukan Hebat Berkurun ini mempunyai kewangan terkukuh di Afrika selalu menyambar peluang mendapatkan bakat muda Mesir dari pelosok pendalaman bukan hanya tertumpu di Cairo sahaja.
Selepas mewujudkan gandingan serasi dengan Abou Treka dan Emad Meteab selama 4 tahun di Ahly dan memenangi hampir kesemua piala yang dipertandingkan disana termasuk Piala Champions League Africa kelab Middlesbrough yang mendapat suntikan agak besar memancing Shawky dan Meteab untuk hadir percubaan berlatih bersama kelab yang panggil Boro itu.
Akhirnya Shawky menarik minat Gareth Southgate dan membayar Ahly yuran perpindahan Shawky sebanyak £650,000 namun tidak berminat mendapatkan Emad Meteab penyerang Ahly yang dikembalikan ke kelabnya berpusat di Cairo.
Dimusim tersebut Middlesbrough membuat pembelian terbesar mereka memecah rekod dengan mendapatkan penyerang dari Brazil Afonso Alves bernilai £12 Juta.
Shawky akan menjadi supplier bola kepada sayap yang paling menyinar musim itu di EPL iaitu Stewart Downing. Selain ke Boro bersama Meteab Shawky juga ditemani rakan senegaranya yang merupakan penyerang paling berbisa Mesir ketika itu bermain di luar negara iaitu Mido.
Ini menyenangkan perkembangan Shawky yang mempunyai rakan yang boleh berbahasa arab dan menggunakan kelebihan Mido yang sejak kanak-kanak bermain di luar negara. Mido akhirnya digandingkan dengan Tuncay Sanli dari Turki dan Alves dari Brazil.
Awal penampilannya Shawky terus mencuri perhatian Southgate apabila separuh musim dia banyak menggantikan Fabio Rochemback untuk bergandingan dengan ketua pasukan George Boateng yang juga merupakan pemain import kelab T-Team pada musim 2013.
Musim 2008 di Boro Shawky yang diselangi kecederaan walaupun permainannya memikat di EPL kerap menjadi sebutan kerana dengan susuk tubuh begitu beliau kerap diletakkan sebagai pengapit kepada pemain berbahaya pasukan lawan, kerap menyaingi Gerrard, Ballack dan C.Ronaldo juga tak ketinggalan diikatnya.
Namun ketika itu posisi beliau disaingi Lee Cattermole pemain muda berbakat warga England, di berikan nombor jersi 15 beliau banyak berehat dan akhirnya Boro turun liga.
Khidmat beliau masih diperlukan, walaupun Mido, Tuncay, Downing dan Alves keluar, Boro yang masih berbelanja besar mendapatkan Darren Bent dan Lita secara pinjaman.
Ketika itu khidmat Shawky juga kurang diperlukan dengan kehadiran Manager baru mereka iaitu Gordan Strachan dari kelab Scotland yang kuat iaitu Celtic. Shawky mengakhiri khidmat 3 tahun di Boro dengan bangga menggantikan legasi Fabrizio Ravanelli dan Juninho Paulista.
Memilih untuk tidak menyambung kontrak, Shawky cuba angin baru di Turki dengan kelab Kayserispor namun bertahan selama 6 bulan sahaja, kontrak 2 tahun di putuskan dengan persetujuan kedua-pihak apabila Al Ahly yang sudah bertukar jurulatih dari jurulatih Lagenda mereka Manuel Jose kepada Hossam El Badri yang berpangkat penolong jurulatih, bersemangat dan berjanji kepada penyokong untuk membawa pulang gandingan Shawky dan Ghaly.
Ghaly yang dari Derby County di loan oleh Spurs, sempat singgah mencuba nasib di Al Nasr kelab Riyadh Saudi sempat selama semusim, kembali ke Ahly dengan sahabat karib yang sama-sama naik nama iaitu Shawky.
Kepulangan mereka disambut dengan gembira oleh penyokong kelab dominan di Mesir itu namun keadaan kucar kacir di Mesir membantutkan pembangunan Liga mereka juga.
Di Ahly selama dua tahun, Shawky dan Ghaly akan berebut posisi dengan Hassan Mostafa yang lebih muda dan Ahmad Hassan yang jauh lebih Legend namun berusia, 4 pemain Centre Mid ini berebut satu tempat sahaja, mana mungkin menyingkirkan Att Mid pemain paling berpengaruh di Mesir iaitu Abou Treka sendiri.
Abou Treka yang akan memilih mereka secara rawak untuk digandingkan kerana Ahly banyak bermain menggunakan kekuatan sayap, dengan Barakat dan Gilberto dikiri dan kanan sebagai penggerak utama.
Akhirnya selepas bergelut dengan kecederaan Ligamen dan jarang mendapat peluang diturunkan, kerap berlaku pertikaian beliau dan jurulatih. Selain itu Liga Premier Egypt mengalami peruduman akibat masalah kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan rejim Mubarak.
Dengan pelbagai chaos dan riot, akhirnya bolasepak juga terlibat didalam jenayah rakyat yang kotor, yang dipercayai didalangi Amerika, paling menyedihkan kelab tempatan tempat Shawky membesar, Masry Port Said kebetulan bertemu kelab yang paling tegang penyokong tempatan, dipercayai disokong oleh hampir 70% rakyat Mesir diwujudkan kebobrokan cetusan manusia yang kelam kelibut dan di provokasi oleh orang luar, drama letusan pergaduhan bolasepak antara terbesar di dunia berlaku di Stadium Port Said pada 1 Febuari 2012 mengakibatkan kematian 79 orang dan kecederaan lebih seribu penyokong bolasepak.
Akhirnya suasana sedih ini menyelubungi jiwa semua mereka yang terlibat didalam bidang bolasepak di Mesir. Lebih menyedihkan Shawky, dua adiknya di Port Said juga hampir terlibat dengan Chaos Of Port Said. Liga Mesir dihentikan. Semua mereka ada yang meletak jawatan dan berhenti dari terlibat dari bolasepak.
Tangisan marhaen dan pengelola rakyat bergolak, begitulah yang dirasai oleh jiwa pemain bolasepak. Namun sebagai professional dan berkarier tetap, mereka meneruskan perjuangan diatas padang dengan semangat yang hilang. Kali ketiga bergaduh dengan Hossam El Badri, Shawky sudah tak tahan. Jiwa Ahlawy nya sudah luntur.
Ramai yang berkata beliau akan pulang ke kelab negeri asal untuk mengakhiri karier nya, namun dengan keadaan bergolak, Shawky juga yang tidak perform dengan pengurusan kelab, menalifon Ketua Pengarah Kejurulatihan iaitu Sayyid AlHafiz agar tidak mendaftarkan namanya bagi skuad 2012, meminta untuk di pinjamkan ke kelab luar dari Mesir atau dilepaskan begitu saja dengan persetujuan dua pihak. Akhirnya beliau dipancing oleh kelab Iraq iaitu Al-Naft.
Shawky sendiri mengakui didalam temuramah, beliau mencari kelab yang mempunyai jiwa penyokong seperti Ahly, di Naft beliau disapa, diajak duduk bersama, berbual santai dan dihargai oleh penyokong yang setiap perlawanan hampir sahaja memenuhkan Stadium Naft yang berkedudukan strategik dilaluan sungai Tigris, Selatan Baghdad, jiwa Sungai Nil dibawa oleh Shawky untuk menenangkan diri selain membaiki karier dan memperkukuhkan kewangan hasil dari kerjaya tetapnya.
Akhir nya sempat setahun di Naft, pasukan milik Oil & Gas, beliau masih bergelut dengan masalah fitness walaupun bermain 14 perlawanan dan sempat menyumbangkan satu gol disana, beliau memilih untuk pulang ke Cairo semula mungkin berfikiran kekecohan rakyat dan kerajaan nya sudah mulai pulih.
Akhirnya dikhabarkan beliau tidak diterima di Ahly, namun mengharapkan mungkin menyertai Zamalek pun dia sanggup kerana kekangan kewangan, hasil keluarga susah dari kecil mengajarnya bekerja keras. Bila ditemuramah, beliau mengakui jika tiada tempat di Liga Mesir beliau akan berhijrah ke Afrika atau luar Afrika.
Berpengalaman bermain di Asia Barat, beliau juga diwakili oleh syarikat ejen yang banyak mewakili pemain Mesir dan Turki yang berkelana iaitu syarikat Starr Football Management & Int. Sport-Management meletakkan harga kontrak pemain ini untuk setahun atau dua berjumlah 250,000 Egyptian Pound atau RM117 Ribu.
Bermakna gaji sebulan termasuk kos ejen mungkin RM10 ribu sebulan, tapi saya percaya kos kepelbagaian mengatasi jumlah ini dan mungkin mencecah RM30K sebulan. Ini info yang saya dapatkan dari mereka yang berpengalaman dengan wakil ejen dari syarikat ini.
Saya agak tak setuju dengan sesetengah Page atau Group yang mengatakan Shawky sudah tak fit kerana tak turun kepadang hampir setahun setengah.
Di Naft beliau bermain 14 perlawanan, sehingga awal 2013, beliau pulang ke Mesir mencari kelab, walaupun beliau tidak ditandatangani oleh mana-mana kelab, beliau sebenarnya menandatangani MOU dengan bekas Mentor yang membawa namanya keserata dunia di Kejohanan U-20 FIFA coach Shawky Gharib yang meletakkan jawatan bersama Hassan Shehata sebagai Coach utama pasukan Senior Mesir, melatih kelab bawahan dari Alexandria iaitu Smouha SC.
Smouha dapat naik ke Liga Premier dari tahun 2010, memilih untuk memanggil Gharib melatih pasukan baru yang agak kukuh kewangan dipunyai oleh Presiden yang mempunyai Syarikat makanan yang besar di Mesir iaitu Syarikat pengeluar makanan Faragallah, Mohamed Farag Amer memilih untuk memanggil bekas-bekas pemain Timnas mewakili pemainnya, yang dipanggil antaranya Ahmad Fadl, Hani Said, Papa Arko dan Moatasem Salim.
Shawky bersama rakan-rakan sezaman dan seusia dengannya bersetuju untuk bersama dengan Gharib bekas jurulatih skuad muda Mesir 2001 yang memenangi tempat ke-3 kejohanan tersebut.
Apabila menandatangani Mou dan belum berkontrak penuh, Shawky turun bermain namun bukan secara rasmi bersama pasukan didalam liga awal 2013.
Beliau tidak sempat ditandatangani Gharib kerana menerima nasihat wakil syarikat ejen yang di naunginya, akhirnya Gharib juga meninggalkan Smouha apabila menerima tawaran kelab ke-3 terbesar di Mesir iaitu Ismaily.
Ada sebuah pasukan yang kuat di Asia Tenggara, yang sangat asing di telinga Shawky meminati sejak musim 2012 lagi berharap agar Shawky menimbangkan hasrat pasukan tersebut.
Bila disebut Malaysia dan Indonesia beliau merasa sangat dekat kerana nama negara yang mempunyai ramai penganut agama Islam sepertinya. Selain itu mengetahui Malaysia dan Indonesia mempunyai kekuatan fanbase, beliau berminat untuk datang.
Selepas mencintai Asia Barat di Iraq, kini beliau merasa untuk mempelajari budaya mencintai penyokong Asia Tenggara pula.
Menolak hasrat Gharib untuk menandatanganinya bagi bermain dengan Smouha SC, beliau mengikut kehendak ejen yang bersetuju dengan khabar kekukuhan kewangan kelab tersebut, dikhabarkan beliau juga akan ditemani oleh pemain Ahly 2010 yang tak sempat bergandingan dengan Shawky kerana cedera dan sekejap sahaja Ghaddar memanaskan bangku simpanan Ahly, Ghaddar pemain kebangsaan Lubnan sudah dikenali nya melalui networking pemain berbangsa Arab, selain sempat sekejap bergandingan dengan Forkey Doe pada tahun 2010 dan 2011, beliau lebih terpanggil untuk menyertai pasukan ini.
Akhirnya dari Syayatin Al Humur iaitu Red Devils Egypt, beliau menyambung khidmat dengan pasukan merah yang terakhir di hujung kariernya iaitu Muhaaribun Al Humur atau Red Warriors of Kelantan. Beliau pasti dijamu dengan kesegaran fanbase, kesegaran kawasan perkampungan dan Sungai Kelantan, selalu lah ajak beliau ke Ridel kerana beliau lahir diperbatasan Sungai Nil yang menghubungkan Terusan Suez iaitu Port Said.
Saya menanya kan penyokong Al Ahly, mereka sebenarnya cepat melupakan Shawky atau Ghaly yang keluar ke kelab Lierse di Belgium, kerana penyokong Ahly banyak menerima bakat dan pemain baru.
Pemain yang keluar setahun dua sudah mereka lupakan, lebih-lebih lagi pemain yang mempunyai masalah disiplin dengan team, namun mereka memuji Shawky yang sangat bekerja keras dan liar di tengah padang, jarang mereka temui sekarang partner Abou Treka sebaik Shawky, dan akhirnya musim depan Abou Treka juga berpindah ke Baniyas kelab kaya UAE, posisi tengah Ahly diwakili oleh senior yang kembali fit iaitu Hossam Ashour dan Walid Soliman selain pemain import mereka Moussa Yadan dan local Nabil Manga. Wajah baru Ahly meninggalkan jiwa baru untuk Shawky kenang.
Mungkin beliau sudah semakin melupakan Ahly, selari dengan masalah tak berpenghujung dengan Hossam Al Badri dan masalah konflik negara nya, Shawky sekarang akan melawan kecederaan dan fitness yang buruk dimiliki untuk memenangi hati penyokong Kelantan, samaada beliau akan menjadi Flop of the season seperti Nanthakumar yang bertubuh sepertinya atau menjadi wira baru yang hardworking juga sepertinya yang berhijrah ke Selatan iaitu Shakir Shaari.
Serba baru untuknya dan Kelantan di posisi ini, Alhamdulillah Alassalamah Ya Shawky Yabni Bursaidy. From your early carier’s fan Muhammad Hafiz Ad Damanhoury.
¥ betterman@kelate.net ¥

#kelate.net

Nazri Ahmad Sah Milik TRW

Kevin Ramalingam (kiri) bersama Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa (tengah) ketika memperkenalkan barisan pemain baharu The Red Warriors pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, kelmarin.
KOTA BHARU – Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn. Bhd, Kevin Ramalingam semalam menegaskan, pemain pertahanan, Muhamad Nazri Ahmad yang dibawa masuk bagi memperkuatkan skuad Kelantan musim depan sah milik The Red Warriors.
Bekas tonggak Johor Darul Takzim (Johor DT) itu telah menandatangani kontrak bersama Kelantan untuk tempoh tiga tahun bermula musim 2014 nanti.
Kevin berkata, pemain itu memberitahu pihaknya bahawa kontrak bersama Johor DT sebelum ini sudah tamat dan dia bebas untuk membuat pilihan.
“Nazri telah memberitahu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dia tidak terikat dengan mana-mana pasukan, jadi, kita telah mengemukakan tawaran kepada pemain tersebut dan dia bersetuju dengan syarat-syarat yang terkandung dalam kontrak tersebut.
“KAFA berpegang kepada kata-kata Nazri yang memberitahu dia tidak terikat dengan mana-mana pasukan, jadi sebab itulah kita kemukakan tawaran.
“Jika Nazri telah mempunyai kontrak dengan pasukan lain, KAFA sama sekali tidak akan mengemukakan tawaran kepadanya kerana ia bercanggah dengan peraturan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu perpindahan Nazri yang menimbulkan persoalan apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mendakwa pemain itu sudah mengandatangi kontrak untuk bersama Red Giants .
Tambahnya, Kelantan sebelum ini pernah berdepan masalah yang sama apabila beberapa pemainnya berhijrah ke pasukan lain biarpun pada asalnya telah menyatakan persetujuan dengan menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU).
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad memberitahu, tindakan pemain berkenaan jelas tidak profesional memandangkan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) telah membayar pampasan kepada Nazri kerana kontraknya hanya akan berakhir pada 30 November ini.
Kevin berkata, Nazri mengakui, ada bertemu dengan pihak FAS namun dia tidak menandatangani kontrak untuk beraksi bersama Selangor musim hadapan.
Katanya, pihaknya tidak mempunyai niat untuk mengambil pemain pasukan lain jika mereka masih ada kontark.
“Kita terkejut dengan perkara ini, namun KAFA menyalahkan Nazri mungkin dia kurang arif. Saya cadangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya mewujudkan ejen berdaftar dalam menguruskan hal berkaitan dengan perpindahan pemain.
“Langkah ini bagi mengelakkan isu sebegini kembali berulang pada masa hadapan,” ujarnya lagi.
www.utusan.com.my

#kelate.net

Hijrah Demi Kelantan : Kecik



Kecik yakin TRW mampu terus bersaing.
PEMAIN baru The Red Warriors, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria mengaku menerima beberapa tawaran dari pasukan lain namun semangat memastikan negeri kelahiran terus cemerlang dalam saingan bola sepak mengatasi segala-galanya.
Jelasnya, menyertai Kelantan adalah pilihan sendiri selain ia merupakan sasaran utama selepas keluar dari Harimau Muda A.
“Saya akui terima tawaran dari pasukan luar namun keazaman untuk memastikan pasukan kelahiran terus cemerlang dan digeruni mengatasi segala-galanya.
“Apabila keluar dari Harimau Muda A, sasaran utama adalah beraksi untuk TRW dan alhamdulillah segala berjalan dengan lancar,” katanya.
Pemain yang mesra disapa dengan gelaran Kecik berkata, sasaran utamanya selaku pemain Kelantan musim depan ialah ingin menarik perhatian peminat dan melakukan yang terbaik buat pasukan.
“Ini musim pertama saya beraksi untuk pasukan negeri, walaupun ada khabar angin TRW akan merudum musim depan itu semua tidak mungkin berlaku.
“Kami akan buktikan bahawa TRW tetap berbisa dan perlu disegani pasukan lain,” katanya.
Mengulas ketiadaan Indra Putra Mahayuddin yang berpindah ke Felda United dan Norfarhan Mohamad (Terengganu), Kecik melihat kekosongan posisi ditinggal mereka, sedia digalasnya seandainya diberikan kepercayaan jurulatih dan pengurusan.
“Membuat perbandingan saya dengan mereka sememangnya jauh berbeza, cuma saya akan cuba mempamerkan aksi terbaik untuk setaraf,” katanya yang telah tiga tahun menimba pengalaman dalam Harimau Muda A di bawah bimbingan jurulatih Datuk Ong Kim Swee.
www.sinarharian.com.my

#kelate.net

So Who Owns JDT Centre Back Nazri ?

Nazri Ahmad
PETALING JAYA, Nov 27 — Kelantan and Selangor have both announced the signing of Johor Darul Takzim (JDT) centre-back Nazri Ahmad (pic).
The 23-year-old was present when Kelantan FA advisor Tan Sri Annuar Musa announced The Red Warriors’ line-up in Kuala Lumpur yesterday.
However, Selangor FA deputy  president Datuk Mokhtar Ahmad had announced Nazri as part of the Selangor squad at a press conference a fortnight ago.
“He has already signed with us. Anyway, I will have a look at the contract papers again tomorrow and then take the matter to the FA of Malaysia (FAM) status committee,” said Mokhtar.
Meanwhile, Nazri insists he had yet to sign with The Red Giants but conceded he had verbally agreed to join them prior to penning a deal with Kelantan.
“I had discussions with Selangor and reached a verbal agreement only,” said Nazri.
“I don’t want to comment further and would leave it to Annuar to settle matters with Selangor.”
This is the second blow to Selangor after international Safee Sali pulled a number on Selangor despite reaching a verbal agreement and collecting an advance. JDT later announced they were retaining the 29-year-old striker.
This conflict certainly does not speak well for the professionalism of the players and yesterday’s case could well be the tip of the iceberg as more cases are expected to surface as the deadline for registration for local players is on December 17.
www.themalaymailonline.com

#kelate.net
#translate sndiri larh 

13 Muka baru Perkuat TRW Musim 2014

Ghaddar (dua, kanan) bersama sebahagian pemain baru TRW yang bakal memperkuat pasukan.
PENYERANG prolifik Kelantan 2012, Mohammed Ghaddar dan pemenang kasut emas 2012, Francis Forkey Doe sah beraksi bersama The Red Warriors (TRW) dalam mengharungi saingan Liga Malaysia 2014.
Turut memperkuat barisan Juara Treble 2012 ialah bekas pemain Middlesbrough dan skuad kebangsaan Mesir, Mohamed Shawky serta bekas pemain Kedah dan Felda United, Amar Rohaidan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, pemilihan semula Ghaddar berdasarkan keupayaannya menjaringkan gol ketika bersama Kelantan sebelum ini.
“Sebenarnya Kafa mendapat banyak pandangan mengenai pemilihan pemain import musim 2014, kita hargai namun kita perlu memilih seorang pemain yang boleh menjaringkan gol kerana dalam perlawanan walaupun kita menguasai permainan dan gagal menjaringkan gol ia tidak menjamin kemenangan buat pasukan.
“Meledak 21 gol ketika bersama Kelantan sebelum ini membuktikan Ghaddar pilihan tepat selain corak permainannya sudah serasi dengan rakan sepasukan,” katanya pada majlis memperkenalkan barisan pemain Kelantan 2014, di ibu negara, semalam.
Mengenai Forkey Doe, Annuar percaya gandingannya bersama Ghaddar mampu memastikan gawang pasukan lawan dibocori setiap kali mereka beraksi.
“Forkey Doe membuktikan kewibawaannya selaku pemilik kasut emas 2012 dan gandingannya bersama Ghaddar pastinya memberi ancaman kepada pertahanan lawan. “Forkey Doe, Ghaddar dan Shawky pernah bermain di satu kelab terkenal di Timur Tengah, Al Ahly. Kita tunggu mereka beraksi yang pastinya akan menghangatkan saingan musim depan,” katanya.
Pada majlis sama Kafa turut memperkenalkan beberapa pemain baru antaranya, Brendan Gan, Shakir Ali, Famirul Asyraf Sayuti, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Wan Zaharul Nizam dan Nazri Ahmad. Annuar berkata, secara keseluruhannya 18 pemain TRW 2013 berhijrah ke pasukan lain.
“Kita akui ramai pemain tonggak utama berhijrah. Namun semua itu satu cabaran buat Kafa untuk meneruskan kecemerlangan walaupun diakui skuad kali ini dibarisi pemain muda.
“Kafa adalah gedung melahirkan bintang, ambil pemain yang tiada nama sehinggalah dibentuk menjadi seorang bermain berkualiti, semua orang tahu perkara ini dan kita seharusnya berbangga dengan apa yang dilakukan,” katanya.
www.sinarharian.com.my

#kelate.net

Wednesday, 27 November 2013

Tindakan KJ Boleh Buat FAM Digangtung FIFA






FAM boleh digantung oleh FIFA sekiranya terdapat bukti campur tangan kerajaan dalam apa perkara sekali pun & jika berlaku, ia adalah penamat kepada bola sepak Malaysia.

Demikian ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan ketika merujuk kepada kuasa FIFA seperti yang terkandung di dalam Artikel 17 Statut FIFA.

Tanpa menafikan kebaikan penubuhan Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara, beliau berkata, artikel tersebut secara jelas melarang kerajaan di sesebuah negara terlibat dalam mana-mana persatuan bola sepak kecuali pemberian bantuan & FIFA tidak pernah berlembut sekiranya peraturan itu dilanggar.

Takiyuddin mengulas mengenai polemik yang timbul di antara FAM & KBS ekoran penubuhan jawatankuasa itu yang turut membabitkan pelantikan Timbalan Presiden FAM yang sedang menjalani penggantungan, TS Annuar Musa sebagai anggota jawatankuasa. 



MALAYSIA FOOTBALL TEAM

Annuar Yakin Pemain Baru Lonjak Kelantan

Annuar (dua dari kiri) bergambar bersama pemain baharu Kelantan musim 2014.
PENASIHAT  Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa yakin kehadiran beberapa pemain baharu dalam pasukan Kelantan mampu melonjakkan prestasi mereka dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Beliau berkata kepulangan bekas pemain importnya yang merupakan pemain antarabangsa Lubnan, Mohamed Ghaddar mampu memperkuat pasukan berkenaan yang kehilangan beberapa pemain utama yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain.
“Kita akui agak mencabar bagi pihak pengurusan pasukan Kelantan apabila begitu ramai tonggak utama kita yang memilih haluan lain termasuk jurulatihnya (Bojan Hodak).
“Kita tahu beberapa perpindahan beberapa pemain utama (musim lepas) sudah memberikan kesan kepada pasukan musim ini di mana pasukan terumbang ambing sebelum kembali stabil,” katanya dalam sidang media bagi memperkenal skuad Kelantan untuk musim 2014 di Bangunan Mara, di Kuala Lumpur, hari ini.
Pasukan The Red Warriors  berjaya mengikat pemenang Kasut Emas (penjaring terbanyak) Liga Super 2012 dari Selangor, Francis Forkey Doe selain bekas pemain antarabangsa Mesir, Mohamed Shawky.
Gergasi Pantai Timur itu turut mendapatkan khidmat pemain Harimau Muda A (bawah 23 tahun), Wan Zaharulnizam Wan Zakaria; Mohd Nazri Ahmad (Johor Darul Takzim); Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan); Amar Rohidan (Felda United); Tengku Hasbullah Raja Hassan (Kedah) dan Famirul Asyraf Sayuti (Sime Darby FC).
Annuar berkata pengurusan pasukan sedang menilai tiga lagi pemain sebelum mendaftarkan keseluruhan 27 pemain sebelum tarikh pendaftaran pemain berakhir pada 17 Disember ini.
Kesemua pemain berkenaan akan melaporkan diri kepada Ketua jurulatih baharu, Steve Darby untuk menjalani sesi latihan pertama pada Khamis ini dan disambung semula pada 2 Disember ini memandangkan Darby perlu menghadiri taklimat Liga Malaysia 2014 di Shah Alam pada 30 November ini.
Pasukan berkenaan dijangka beraksi dalam tiga aksi persahabatan di Pulau Pinang sebelum ke Hanoi, Vietnam untuk menyertai Kejohanan Kejuaraan Kelab-Kelab Asean selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia memilih Kelantan selaku wakil Malaysia.
“Kita juga  merancang untuk mengadakan siri persahabatan (dengan pasukan kelab) sama ada di Indonesia atau di Thailand tapi kemungkinan di Banjarmasin, Indonesia.
“Saya berharap latihan pramusim selama enam minggu akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh jurulatih untuk memantapkan pasukan kita dan saya harap tempoh berkenaan mencukupi untuk Darby menggarap sebuah pasukan mantap,” kata Annuar sambil tidak meletakkan sebarang sasaran untuk Kelantan, musim depan.
Sementara itu, Darby yang menandatangani kontrak dua tahun dengan Kelantan mahu pemain berjuang mendapatkan tempat jika mahu kekal dalam barisan kesebelasan utama pasukan.
“Bagi saya, jika pemain mahu menang mana-mana kejohanan, seluruh pasukan perlu menyumbang dan bekerjasama,” kata jurulatih dari Britain itu yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan bola sepak tempatan dan antarabangsa.
Senarai Pemain Kelantan 2014:
Khairul Fahmi Che Mat (pembantu kapten I), Mohd Syazwan Yussof, Shahrizan Ismail, Obinna Nwaneri (pembantu kapten II), Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Farisham Ismail, Nazri Ahmad, Zairul Fitree Ishak, Khairul Izuan Rosli, Tuan Mohd Faim Tun Zainal Abidin, Mohd Badhri Radzi (kapten), Ahmad Fakri Saarani, Aziz Ismail, Faizol Nazlin, Faiz Shuhaimi, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Ahmad Shakir Ali, Brendan Gan, Amar Rohidan, Famirul Asyraf Sayuti, Francis Forkey Doe, Mohamed Ghaddar, Mohamed Shawky. – Bernama

#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets