Friday, 8 November 2013

Piya Kekal Bersama TRW

Mohd. Badhri (dua dari kanan) bersama peminat-peminatnya selepas menerima Anugerah Tokoh Sukan pada Majlis Penganugerahan Tokoh Anak Muda Kelate 2013 di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU – Kapten The Red Warriors, Mohd. Badhri Radzi mengesahkan akan kekal bersama Kelantan pada musim depan biarpun tiga rakannya yang mengemudi jentera tengah pasukan itu mengambil tindakan ‘angkat kaki’.
Pengesahan itu sekali gus melenyapkan spekulasi bahawa Mohd. Badri yang juga dikenali sebagai Piya akan berhijrah ke pasukan lain musim depan.
Dia bagaimanapun mengakui sebelum ini menerima tujuh tawaran daripada pasukan Liga Super.
“Saya belum dipanggil untuk menandatangani kontrak yang baharu lagi tetapi saya sahkan akan kekal bersama Kelantan musim depan.
“Majlis menandatangani kontrak baharu ini mungkin dilakukan dalam masa terdekat atau selepas kami semua pulang menunaikan umrah pada 17 November ini,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Anugerah Tokoh Anak Muda Kelate di Kota Darulnaim, semalam.
Pada majlis tersebut, Piya menerima Anugerah Tokoh Sukan yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Yang turut hadir bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menerima Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Dr. Ramli Mamat.
Mohd. Badhri berkata, faktor utama untuk kekal bersama pasukan itu adalah kerana mahu berbakti dan menaikkan nama negeri sendiri.
“Bermain di tempat orang dan tempat kita berbeza, di sini kita mempunyai penyokong yang kuat dan ia membangkitkan semangat ‘darah’ kita sebagai anak Kelantan.
“Bermain di tempat lain mungkin ada sesetengah orang akan kata tak apa bukan negeri kita tetapi kalau bermain dengan negeri kita semangat lebih lagi ditambah dengan sokongan padu penyokong,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai penghijrahan lapan rakannya pada musim depan, Mohd. Badhri mengakui berasa agak kecewa kerana mereka telah membentuk keserasian yang baik sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun dia masih optimis The Red Warriors mampu untuk membentuk pasukan yang kuat musim depan.
“Mungkin pasukan untuk 2014 lebih baik sebab pemain ada kelebihan masing-masing. Mereka (pemain yang berhijrah) pergi kerana majikan memberikan tawaran yang lebih baik jadi tidak ada siapa yang boleh halang.
“Kalau boleh saya hendak minta mereka supaya kekal tetapi mereka telah membuat keputusan untuk bersama pasukan baharu, saya tidak boleh buat keputusan untuk mereka, saya tidak ada masalah,” katanya.
Piya juga berharap pengganti yang akan mengisi kekosongan itu setanding dan cepat untuk membentuk keserasian.
Lapan pemain yang mengesahkan berhijrah ialah, Mohd. Noor Farhan Muhammad, Daudsu Jamaluddin, Azizi Mat Rose, Syakir Shaari, Indra Putra Mahyuddin, S. Subramaniam, Rizal Fahmi Rosid serta Iwan Solahudin.
www.utusan.com.my

#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets