Friday, 8 November 2013

Hilang Lapan ' Hiro '

Mohd. Norfarhan Mohammad
KOTA BHARU – Skuad The Red Warriors bakal mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2014 penuh liku apabila beberapa tonggak utama yang menjadi tunjang kekuatan Kelantan bagi tahun 2012/2013 memilih berubah angin dengan menyertai pasukan lain.
Berita mengejutkan itu disahkan sendiri Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menerusi entri di laman sosial facebook miliknya, semalam.
Annuar dalam entri itu menulis, antara pemain yang akan meninggalkan pasukan The Red Warriors musim hadapan ialah Mohd. Norfarhan Mohammad, Indra Putra Mahyuddin serta empat tonggak pertahan iaitu Azizi Mat Rose, Mohd. Rizal Fahmi Rosid, S. Subramaniam dan Mohd. Daudsu Jamaluddin.
Katanya, Kelantan dijangka turut kehilangan sentuhan pemain tengah berbisanya, Mohd. Shakir Shaari dan tenaga muda, Mohd. Izuan Solahuddin yang memilih untuk menyertai pasukan baharu musim depan.
“Kepada mereka semua, saya ucapkan penghargaan dan terima kasih serta selamat maju jaya. Perjalanan The Red Warriors diteruskan dengan penuh tabah tanpa mereka.
“Patah tumbuh hilang berganti, (barisan pemain) The Red Warriors 2014 akan diumumkan sebelum akhir bulan ini,” ujarnya.
Lima tonggak The Red Warriors iaitu Mohd. Nofarhan, Azizi, S. Subramaniam, Mohd. Shakir dan Mohd. Daudsu dikhabarkan hampir pasti menyertai Harimau Selatan manakala Mohd. Rizal dikatakan bakal berhijrah ke Selangor.
Dua lagi pemain, Indra Putra dan Mohd. Izuan masih merahsiakan pasukan yang akan mereka sertai musim depan.
Dalam perkembangan lain, sumber dalaman KAFA memberitahu, Kelantan sudah berjaya mendapatkan khidmat bekas penyerang Negeri Sembilan, Mohd. Shakir Ali bagi memperkuatkan pasukan tahun hadapan.
Kata sumber itu lagi, The Red Warriors juga mengintai beberapa nama besar yang akan dibawa masuk memperkuatkan pasukan.
“Usaha untuk membawa masuk beberapa nama besar bertaraf pemain kebangsaan tersebut bertujuan mengisi kekosongan ditinggalkan oleh tonggak utama The Red Warriors musim ini yang mengambil keputusan untuk berhijrah kepasukan baharu tahun depan.
“Kita yakin dan percaya dengan ramuan pemain yang ada ini, mampu membentuk gandingan mantap untuk musim depan,” ujarnya.
Sumber tersebut turut mengesahkan Kelantan sedang berunding untuk mendapatkan khidmat Mohd. Khyril Muhaymeen Zambri dan pemain tersebut sudah pun menjalani pemeriksaan kesihatan di sini, baru-baru ini.
Katanya, selain tonggak Kedah itu, tonggak Harimau Muda A, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria turut berada dalam radar Kelantan untuk musim depan.
www.utusan.com.my

#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets