
Steve Darby
JURULATIH kelahiran England, Steve Darby memulakan tugas secara rasmi selaku pengendali baharu The Red Warriors (TRW) semalam, dengan penuh iltizam bagi membentuk semula bekas pasukan juara tiga piala itu bersaing dalam kancah Liga Malaysia musim 2014.
Keyakinan tinggi itu disuarakan Darby yang menganggap Kelantan tidak sesekali tempang dalam mengharungi saingan liga domestik musim depan meskipun sembilan pemain tonggaknya tidak lagi bersama pasukan tersebut.
Menurutnya, penghijrahan pemain adalah perkara biasa dalam bola sepak dan beliau mengambil alih tugas membimbing Kelantan daripada pengendali lama, Bojan Hodak dengan rasa penuh tanggungjawab bagi membaiki keruntuhan pasukan tersebut.
“Memang kita hilang ramai pemain, itu bukan lagi satu rahsia. Jika anda ditawarkan gaji tiga kali ganda, sudah pasti anda akan pergi (berhijrah). Mereka ialah pemain bola sepak profesional dan saya kena menghormati keputusan mereka.
“Pemain datang dan pergi adalah normal dan kita kena pandang ke depan. Saya akan menggunakan barisan pemain yang ada termasuk daripada skuad Piala Presiden bagi membina semula kekuatan pasukan ini,” katanya.
Darby memulakan tugas pertamanya semalam dengan mengadakan mesyuarat secara tertutup bersama dua Penolong Jurulatih, Kamarudin Mohamad dan Zahasmi Ismail.
Jurulatih berusia 58 tahun itu bagaimanapun hanya akan mengendalikan sesi latihan sulung pasukannya awal Disember depan sekembalinya pemain daripada menunaikan ibadat umrah.
Darby yang bakal memperkenalkan gaya permainan baharu buat Kelantan memberitahu, fokus utamanya ialah membantu pasukannya meneruskan kesinambungan memenangi kejuaraan pada musim depan.
“Sudah pasti saya menetapkan sasaran mahu menang setiap perlawanan. Tiada jurulatih yang mahu pemainnya masuk padang untuk kalah.
“Pasti ada perubahan taktikal yang akan saya lakukan, ia satu corak permainan bola sepak mudah untuk Kelantan,” katanya.
Naib juara Piala Malaysia itu berdepan situasi getir dalam melakukan persiapan setelah kehilangan ramai tonggak utama yang membuat keputusan berhijrah ke pasukan lain pada musim depan.
Antaranya, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Shakir Shaari, Azizi Matt Rose, S Subramaniam ke Johor Darul Takzim, Muhamad Izuan Mohd Salahuddin (Sime Darby FC), Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid (Selangor), Indra Putra Mahayuddin (Felda United FC), Mohd Norfarhan (Terengganu) dan Dickson Nwakaeme yang dijangka beraksi dengan salah sebuah kelab di Eropah.
www.sinarharian.com.my
#kelate.net