Friday, 1 November 2013

Kuasai Jentera Tengah : Shakir

Shakir (tengah) gigih menjalani latihan bersama rakan sepasukan dalam sesi latihan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.
PEMAIN tengah, Mohd Shakir Shaari menyifatkan kekuatan jentera tengah mampu mempengaruhi corak permainan Kelantan dan Pahang pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.
Mohd Shakir berkata, peluang jentera penggempur Pahang dan Kelantan untuk meledakkan jaringan dalam perlawanan itu banyak bergantung pada kekuatan enjin tengah pasukan masing-masing.
“Jentera tengah kami tidak boleh mati. Kelantan kena menang perebutan bola di kawasan tengah dan jika itu dapat lakukan, saya percaya kami boleh menembusi benteng pertahanan Pahang dengan mudah.
“Kebiasaannya, pasukan yang mendominasi bahagian itu, pasukan itulah yang akan menguasai keseluruhan 90 minit perlawanan. Dickson Nwakaeme tidak mampu bergerak seorang dan kami (pemain tengah) yang perlu membantu dia menjaringkan gol,” katanya.
Justeru, pemain berusia 27 tahun itu berkata, beliau dan rakan sepasukan di bahagian tengah tidak mempunyai pilihan selain perlu bekerja lebih keras kerana skuad Tok Gajah juga cukup mantap di posisi itu.
Menurutnya, prestasi kian meningkat bekas pemain Selangor, Mohd Amirulhadi Zainal dalam kempen Piala Malaysia sejak kebelakangan ini memberi amaran kepada pasukannya supaya tidak memandang mudah pertemuan tersebut.
“Sebelum ini, ramai yang kata Matias Conti, Alex (Azamuddin Mohd Akil) dan R Gopinathan cukup berbahaya. Tetapi kita jangan ketepikan Mohd Amirulhadi kerana pemain ini juga mungkin boleh menjadi pembunuh dalam senyap buat Kelantan.
Dalam pada itu Mohd Shakir mengakui beliau sedikit pun tidak berada dalam keadaan tertekan beraksi di pentas final edisi ke-87 itu meski pun pasukannya dilabelkan pasukan pilihan untuk mengekalkan kejuaraan tersebut.
“Kami sudah tiga kali bermain dalam perlawanan akhir dan saya fikir soal tekanan bukan lagi perkara yang membelenggu pasukan ini. Kami akan bermain seperti biasa dan anggap final ini seperti perlawanan lain kami hadapi sebelum ini, ” katanya.
www.sinarharian.com.my

#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets