
Kepulangan The Red Warriors ke bumi Che Siti Wan Kembang tetap disambut sebagai wira apabila lebih 200 penyokong setia pasukan berhimpun di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa dekat sini semalam.
Meskipun gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas tumbang 0-1 kepada Pahang dalam aksi final di Stadium Shah Alam kelmarin, ia tidak mematahkan semangat 'pemain ke-12' pasukan itu untuk hadir memberikan sokongan kepada The Red Warriors.
Ketibaan barisan pemain Kelantan kira-kira pukul 6.30 petang itu disambut dengan nyanyian lagu 'Ayuh Kelateku' oleh penyokong yang hadir, termasuk Kelab Komuniti Kami Menang Sporting bagi menzahirkan sokongan kepada pasukan Kelantan.
Pengerusinya, Mohd. Fazli Saud, 32, berkata, meskipun gagal mempertahankan kejuaraan tersebut musim ini, pihaknya tetap bangga dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh barisan pemain Kelantan pada perlawanan tersebut.
Katanya, mereka telah berusaha bersungguh-sungguh, namun nasib tidak menyebelahi Kelantan apabila dikecewakan oleh Pahang menerusi jaringan Martias Conti pada minit ke-58.
"Kekalahan ini bukan penamat buat pasukan The Red Warriors, walaupun gagal mempertahankan kejuaraan, namun kejayaan merangkul Piala FA menjadi pengubat kekecewaan kami musim ini," katanya.
Mohd. Fadzli memberitahu, untuk saingan musim hadapan dia menaruh keyakinan tinggi Kelantan mampu bangkit dengan mencipta lebih banyak kejayaan walaupun bakal berdepan saingan sengit.
"Sokongan kami terhadap Kelantan tidak pernah berubah walaupun ada pemain yang akan berhijrah meninggalkan The Red Warriors," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi peminat setia Ahmad Aiman Asyraf Muhammad, 18, berkata, faktor padang basah memberi kesukaran kepada Kelantan untuk menunjukkan taring sebenar.
"Keadaan padang basah sememangnya menyukarkan pergerakan pemain Kelantan, bagaimanapun kita perlu akui Pahang beraksi lebih baik pada perlawanan tersebut.
"Menguasai hampir keseluruhan pemain dan mereka menggunakan peluang yang dimiliki sebaik mungkin dengan menjaringkan gol pada perlawanan tersebut," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, dia tetap gembira kerana Piala Malaysia masih kekal dijulang oleh pasukan dari Pantai Timur.
Sumber : Utusan Malaysia / 5 November 2013
#theredwarriorsfc.com