Steve Darby
Shah Alam: Pengalaman cukup mengajar jurulatih baru Kelantan Steve Darby supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman mana-mana pasukan bagi mempertahankan kejuaraan Piala FA musim depan.
Jurulatih dari England itu bukan asing dengan kancah bola sepak tempatan apabila pernah membimbing Johor (1998-2000) serta Perak (2005-2008) dan beliau menganggap masih terlalu awal untuk meramalkan nasib Kelantan.
Biarpun undian Piala FA semalam menyaksikan Kelantan yang mendapat bye pada pusingan pertama akan menentang Kuantan FA atau Sabah di pusingan kedua.
“Kelantan kali ini adalah pasukan yang baru dibentuk selepas ramai pemain berhijrah ke pasukan lain. Saya tidak tahu mengenai kekuatan Kuantan FA tapi Sabah pasukan yang cukup tersusun. Anda akan menjangkakan kami menentang Sabah pada pusingan kedua tapi apa saja boleh berlaku.
“Atas kertas kita lihat Johor DT adalah pasukan pilihan kerana mereka memiliki pemain import hebat dan ramai pemain kebangsaan tapi sebenarnya kita sukar untuk menjangkakan siapa pasukan yang kuat dan pasukan yang lemah,” katanya selepas Majlis Undian Piala FA semalam.
Johor DT yang turut mendapat bye pada pusingan pertama bakal menentang T-Team pada pusingan kedua yang dilihat tidak berdepan masalah untuk menundukkan wakil dari Liga Perdana UiTM FC di pusingan awal kejohanan kalah mati itu yang bermula pada 21 Januari depan.
“Berdasarkan undian, perlawanan pertama kami OK, tapi selepas itu kami akan berjumpa pasukan paling glamour (Johor DT I). Tapi dengan semangat baru, pasukan baru Insya Allah kami akan beri saingan yang baik,” kata Azraai yang berhijrah ke T-Team dari Perak.
Selain itu, antara perlawanan pusingan pertama yang menarik adalah antara juara Piala Malaysia Pahang dengan Perak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Sime Darby, PKNS FC menentang Johor, Negeri Sembilan dan Felda United serta Sarawak dengan Pulau Pinang.
Selangor mendapat undian mudah menentang Harimau Muda C pada aksi pembukaan dan bakal bertemu pemenang antara Sarawak dan Pulau Pinang di pusingan seterusnya.
www.hmetro.com.my
#kelate.net