
Amirizwan Taj Tajuddin
KOTA BHARU – Tonggak pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Amirizwan Taj Tajuddin mengakui ada menerima tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mendapatkan khidmatnya beraksi bersama The Red Warriors musim depan.
Pemain berusia 27 tahun itu berkata, selain Red Warriors, dia turut menerima lamaran daripada lima lagi pasukan.
Bagaimanapun katanya, dia masih belum membuat keputusan kerana mahu fokus bersama pasukan kebangsaan dalam kelayakan Piala Asia.
“Keputusan sama ada mahu kekal atau berhijrah akan diputuskan dalam masa dua hingga tiga hari lagi sebaik sahaja tugas bersama Harimau Malaya selesai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Amirizwan, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan salah seorang bintang yang berada dalam radar KAFA untuk dibawa masuk dalam usaha memantapkan barisan pertahanan Kelantan yang kehilangan beberapa tonggak.
Kehadiran Amirizwan dijangka mampu memantapkan posisi pertahanan Kelantan selepas kehilangan separuh kekuatan di bahagian berkenaan.
Beberapa tonggak pertahanan mereka mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan baharu.
Antara tonggak pertahanan Kelantan yang meninggalkan Red Warriors musim depan ialah Mohd. Daudsu Jamaludin, Mohd. Rizal Fahmi Rosid dan Azizi Mat Rose.
Amirizwan yang merupakan anak kelahiran Kota Bharu memulakan kariernya sebagai pemain bola sepak dengan menyertai pasukan UiTM FC pada 2011 dan beraksi dalam saingan Liga Perdana.
Kerier Amirizwan terus bersinar apabila mendapat tawaran untuk beraksi bersama ATM setahun kemudian sehinggalah sekarang.
Ketenangan Amirizwan mengemudi benteng ATM menambat hati pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk menyenaraikan dalam pasukan negara.
www.utusan.com.my
#kelate.net