
Mohd Badhri Radzi
Kota Bharu: Menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Pahang malam ini, ada berita gembira untuk penyokong Kelantan yang pasti membakar semangat mereka untuk terus memberi sokongan padu kepada The Red Warriors (TRW).
Kapten kesayangan mereka, Mohd Badhri Radzi, 31, atau Piya mengaku akan terus setia bersama skuad Kelantan dan tidak akan berhijrah ke pasukan lain untuk saingan musim depan.
Menurutnya, dia sudah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan badan induk bola sepak negeri itu memberi jawapan positif untuk memastikan dia kekal di negeri itu.
“Selebihnya saya tidak dapat mengulas lanjut. Apa yang penting saya mahu memberi tumpuan kepada perlawanan akhir malam ini,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, selain jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, nama Piya turut disebut-sebut bakal berhijrah ke pasukan lain, tetapi ‘arkitek’ TRW itu tidak memberi sebarang jawapan pasti.
Dalam pada itu, Piya meminta pemain TRW yang mungkin berhijrah ke pasukan lain musim depan supaya memberikan aksi terbaik masing-masing bagi membantu TRW mempertahankan kejuaraan.
“Saya harap pemain yang akan berhijrah pada musim depan, memberikan yang terbaik malam ini dan jika TRW menang, ia akan meninggalkan kenangan manis buat mereka sebelum berhijrah dan mencuba nasib bersama pasukan baru,” katanya.
@kelate.net