
Annuar Musa
Kuala Lumpur: Tindakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar melantik Tan Sri Annuar Musa sebagai anggota Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara bakal ‘menjerat’ penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu memandangkan beliau kini masih menjalani hukuman penggantungan dua tahun enam bulan yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abd Razak berkata, Annuar masih lagi menjalani hukuman penggantungan yang akan berakhir Oktober depan dan sepatutnya beliau tidak boleh terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak khususnya yang membabitkan FAM.
“Kita akan tengok sejauh mana pembabitan beliau dalam program itu, kalau ia membabitkan FAM, beliau tidak boleh berada dalam jawatankuasa itu. Sebarang program bola sepak anjuran KBS (Kementerian Belia dan Sukan) ataupun Kementerian Pelajaran sekali pun pasti membabitkan kerjasama FAM dan saya juga difahamkan ada wakil FAM dalam program itu.
“Memang kita tidak boleh nafikan sumbangan Annuar dalam bola sepak namun sepatutnya Khairy perlu menyemak terlebih dulu status Annuar dengan FAM sebelum membuat sebarang perlantikan,” katanya.
Annuar bekas Timbalan Presiden FAM digantung selama dua tahun kerana didapati bersalah melanggar Artikel 88 selepas beliau mengkritik prestasi skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal.
Bagaimanapun bekas Menteri Belia dan Sukan itu dilaporkan menerima surat perlantikan daripada KBS sebagai anggota baru dalam Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara selepas KBS melakukan rombakan dalam barisan jawatankuasa itu.
Menurut Taufek, jika Annuar didapati melanggar penggantungan itu pihak sekretariat boleh membawa kes itu ke pihak Jawatankuasa Tatatertib dan kemungkinan Ahli Parlimen Ketereh itu boleh dikenakan tindakan.
Malah FAM juga boleh diheret dalam permasalahan itu apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atau badan induk bola sepak antarabangsa FIFA boleh mengambil tindakan ke atas FAM.
www.hmetro.com.my
#kelate.net