
Wan Zaharulnizam Zakaria
KOTA BHARU – Ibarat sirih pulang ke gagang. Itulah perumpamaan tepat ditujukan kepada tonggak Harimau Muda A, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria yang memilih untuk berbakti bersama negeri kelahirannya, Kelantan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.
Wan Zaharul Nizam atau lebih mesra dengan panggilan Kecik berkata, dia sudah pun menandatangani kontrak selama dua tahun untuk beraksi bersama The Red Warriors.
“Sudah tiba masanya saya kembali menabur bakti bersama Kelantan dan ia merupakan langkah yang tepat untuk mengembangkan lagi karier sebagai pemain bola sepak.
“Beraksi bersama Red Warriors untuk saingan musim hadapan bukanlah satu tugas mudah dan ianya pasti menjanjikan cabaran sengit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Wan Zaharul berkata, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas tugas tersebut dalam saingan Liga M musim 2013 nanti.
Wan Zaharul Nizam antara beberapa tonggak yang diberi pilihan sama ada mahu kekal bersama Harimau Muda A atau mencari haluan baharu.
Selain bintang sayap lincah itu, tiga rakan sepasukannya iaitu Izham Tarmizi, Mohd. Irfan Fazail dan Mohd. Fadhli Shas memilih untuk menyertai Johor Darul Ta’zim.
Wan Zaharul Nizam antara muka baharu yang dibawa masuk oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selepas berjaya mengikat bekas penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Ali dan pemain tengah Kedah, Tengku Hasbullah Raja Hassan.
Kemasukan pemain itu dijangka mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh tonggak berpengalaman, Indra Putra Mahyuddin yang beraksi bersama Felda United tahun depan.
Dalam pada itu, Wan Zaharul Nizam bertekad membantu Kelantan meneruskan legasi kejayaan dalam saingan Liga M musim 2013.
www.utusan.com.my
#kelate.net