
Jangan ambil mudah cabaran pasukan lawan dan beri tumpuan sepenuhnya kepada permainan, itu pesanan penyanyi popular bersuara merdu, Misha Omar kepada The Red Warriors yang bakal menghitung pertemuan dengan skuad Tok Gajah di pentas akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Misha yang berada di Kelantan ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam berkata, sebagai anak jati Kota Bharu, sudah tentu dia amat mengharapkan kemenangan berpihak kepada pasukan negerinya itu.
Bagaimanapun, saya berharap mereka tidak memandang mudah lawan mereka dan fokus pada perlawanan nanti. Kami rakyat Kelantan sentiasa mendoakan kejayaan mereka," katanya.
Menurut Misha, sekali pun bola sepak merupakan satu bidang yang cukup kontra dengan kariernya sebagai penyanyi, namun dia masih mengikuti perkembangan terkini liga tempatan dan berkesempatan menyaksikan perlawanan separuh akhir yang disiarkan di kaca televisyen, minggu lalu.
Ketika ditanya ramalan pada perlawanan itu nanti, Misha memberitahu, dia perlu realistik apabila membuat ramalan kerana Pahang bukanlah pasukan lemah yang mudah diratah Kelantan.
Saya tak nak tamak dan biarlah ramalan saya ini realistik, memadai jika Kelantan dapat mencatat kemenangan 2-1 dan sekali gus mempertahan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut," ujarnya.
Penyanyi berusia 31 tahun yang kini sedang meletup dengan lagu baru, Angin Syurga juga berharap kapten Red Warriors, Mohd. Badhri Mohd. Radzi atau lebih popular dengan nama jolokan Piya dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek dapat mempamerkan aksi cemerlang bagi membantu kemenangan Kelantan.
Sumber : Utusan Malaysia/31 Oktober 2013
#theredwarriorsfc.com