Tuesday, 5 November 2013

Lautan Merah Kuning Manusia Di Shah Alam

KAIN
Bagaikan pesta. Itulah yang boleh digambarkan suasana final Piala Malaysia yang mempertemukan dua seteru Pantai Timur Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam malam tadi.
Kemeriahan final edisi ke-87 cukup dirasai apabila penyokong kedua-dua pasukan sudah mula membanjiri perkarangan stadium sejak jam 11 pagi lagi sementara menunggu pintu masuk stadium dibuka jam 3 petang.
Di luar perkarangan stadium kelihatan penyokong Tok Gajah dan The Red Warriors berkumpul dan bersorak dan ada juga yang mengambil kesempatan dengan membeli jersi dan barangan pasukan yang dijual di gerai-gerai.
Paling menarik adalah kreativiti penyokong yang sanggup mewarnakan muka dan badan dengan warna merah dan kuning lambang pasukan masing-masing.
Semakin menjadi trend, penyokong wanita juga turut berani mewarna wajah masing-masing tanpa rasa kekok.
Inilah tradisi final bola sepak Malaysia yang penuh dengan kemeriahan dan kegembiraan.
Penyokong ini juga secara `sporting' bergambar sesama mereka sekalipun berlainan pasukan.
Biarpun terdapat laporan pintu masuk stadium pecah dan ada penyokong tidak dibenarkan masuk kerana memiliki tiket palsu namun keadaan masih terkawal dengan bantuan pihak polis dan pengawal keselamatan.
Suasana di dalam stadium yang dipenuhi 75,000 penyokong mula gamat apabila penyokong kedua-dua pasukan bersorak menyanyikan lagu pasukan serta menyalakan lampu pada telefon bimbit masing-masing.
Penyokong Pahang bersorak apabila pemain Pahang masuk ke padang dengan penuh segak berpakaian suit lengkap sebelum turun memanaskan badan.
Diikuti pemain Kelantan yang masuk memberikan penghormatan kepada penyokong Kelantan yang hadir membawa kertas tertera perkataan ‘gomo’ dan ‘TRW’.
Hujan lebat sebelah petang yang reda kembali turun jam 8 malam ketika pemain kedua-dua pasukan memanaskan badan namun penyokong tetap tidak berganjak dari tempat duduk.
Dalam pada itu, kain rentang ‘This is Pantai Timur’ antara yang mewarnai final Piala Malaysia edisi ke-87 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Ia menggambarkan persahabatan dan persahabatan yang dilaungkan para penyokong dua negeri Pantai Timur itu iaitu Kelantan dan Pahang termasuk Terengganu.
Malah ada yang membawa kain rentang yang tertera ‘T.Q Terengganu’ (Terima kasih Terengganu) di mana ketiga-kita pasukan Pantai Timur ini pada awalnya bersaing dalam kumpulan yang sama dalam kancah Piala Malaysia.
Namun Kelantan dan Pahang nyata lebih mendominasi apabila melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia selepaa menyingkirkan lawan masing-masing.
Kedua-dua penyokong nyata tidak mahu mengalah apabila melancarkan ‘perang kain rentang’ sejak awal stadium mula dibuka jam 3 petang pagi.
Bagi penyokong Kelantan perjalanan jauh kira-kira 500 kilometer jelas tidak melunturkan semangat mereka dalam menzahirkan sokongan kepada pasukan kesayangan.
Antara kain rentang yang dilihat mampu membakar semangat pemain The Red Warriors (TRW) adalah ‘This is Kota Bharu 2’ yang menujuk stadium keramat mereka di Kota Bharu, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Gelanggang berkenaan amat kebal buat TRW apabila hanya tewas kepada ATM dan Negeri Sembilan dalam kancah Liga M musim ini.
Antara kain rentang menarik yang dinaikkan penyokong TRW adalah ‘walaupun berjiran gomo tetap gomo’ dan sebagainya.
Manakala penyokong Pahang tidak sesekali mengalah dengan pelbagai kain rentang digantung bagi membakar semangat Jalaluddin Jaafar dan rakan sepasukan.
Antaranya yang menarik perhatian adalah ‘Menang tak megah, kalah tak rebah,hogoh Pahang hogoh’.
Selain itu terdapat pelbagai kain rentang yang mewakili daerah atau kelab masing-masing seperti Kelab Peramah Parlimen Pekan, Felda New Zealand, Kelab Penyokong Kuala Lipis dan sebagainya.
Sumber : Harian Metro/ 4 November 2013 
Gambar : Kamarul Akhir/Asiana.my - All Sports Images and News Agency

#theredwarriorsfc.com
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets