
Norfarhan Muhammad
Kota Bharu: “Komitmen 200 peratus atas padang”.
Itu janji Norfarhan Muhammad bagi memastikan Kelantan mengekalkan Piala Malaysia untuk dua musim berturut-turut.
Katanya untuk mengekalkan kejuaraan, tekanan yang dialami amat tinggi namun ia perlu ditangani dengan cara yang betul.
“Betullah orang kata, mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar berbanding memburunya. Sejujurnya saya bersyukur kerana berjaya melangkah ke final dan kebetulan bertemu pula jiran Pantai Timur, Pahang yang sudah banyak kali ditentang musim ini.
“Sedikit-sebanyak kami sudah mengetahui cara mereka bermain namun kami sesekali tidak boleh terlalu yakin,”katanya yang meledak jaringan tunggal ketika Kelantan mempertahankan Piala FA menewaskan Johor Darul Takzim (DT) di final, April lalu.
Jaringan kemenangan yang diraihnya itu menguatkan lagi keazaman pemain kelahiran Terengganu berusia 29 tahun itu untuk terus memahat namanya di pentas final Piala Malaysia selepas tidak beraksi pada final musim lalu.
“Pada saya setiap pasukan mempunyai kelemahan. Pahang sememangnya bagus ketika menyerang dan mungkin membuka sedikit kelemahan ketika bertahan. Kami akan cuba memanfaatkan kelalaian mereka dan mencuri peluang yang ada untuk dimanfaatkan sebaik mungkin,”katanya juga dikenali sebagai Ben 10.
Pemain sayap berkenaan turut mengakui seandainya Pahang mengamalkan corak bertahan seperti ketika menentang Sarawak di Kuching Sabtu lalu, barisan penyerang Kelantan akan menghadapi masalah.
#kelate.net