Thursday, 17 October 2013

Tiga Serangkai Jadi Sasaran TRW

Azman Ibrahim
KOTA BHARU – Kelantan perlu merantai pergerakan tiga tonggak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James, Bruno Marteloto dan Hairuddin Omar jika mahu mencatat kemenangan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), esok.
Itu pesanan Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim, yang melihat ketiga-tiga pemain tersebut boleh membawa masalah besar kepada skuad The Red Warriors (TRW).
Katanya, Kelantan harus memantapkan benteng pertahanan mereka dan pada masa yang sama menajamkan jentera serangan.
“Ketiga-tiga pemain ini mampu menjadi pemusnah buat Kelantan jika diberikan peluang untuk bergerak bebas dalam perlawanan tersebut kerana semua orang tahu apa yang boleh mereka lakukan.
“Jadi kita perlu menutup setiap peluang yang dimiliki oleh ketiga-tiga pemain ini kerana mereka adalah tonggak utama ATM.
“Kalau kita boleh buat macam itu, barulah kita boleh fikir tentang menang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut Azman, setiap pemain yang diturunkan pada perlawanan esok perlu memberi 100 komitmen dan konsentrasi lebih-lebih lagi ATM sukar ditewaskan setiap kali beraksi di Stadium Selayang.
Beliau bagaimanapun yakin bahawa Kelantan mampu layak ke perlawanan akhir berdasarkan kekuatan semasa antara kedua-dua pasukan, tambahan lagi skuad The Red Warriors cukup bermotivasi untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
“ATM sebuah pasukan yang sukar dijinakkan, keupayaan mereka menyingkirkan juara Liga Super, LionsXII 4-1 di Selayang baru-baru ini menunjukkann mereka bukanlah calang-calang pasukan.
“Jadi kita perlu berhati-hati dengan corak permainan mereka dan tidak boleh terlalu yakin selepas mencatatkan kemenangan besar 6-1 ke atas Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam aksi suku akhir baru-baru ini.
“Begitupun, saya percaya Kelantan akan layak ke final kerana itu adalah sasaran pasukan, namun tiada jalan lain boleh diambil selain menewaskan ATM,” ujarnya.
www.utusan.com.my

#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets