Friday, 4 October 2013

Komando Datang Lagi ?

KOMANDO
Mungkinkah insiden anggota komando memasuki stadium akan berulang pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, esok?
Persoalan itu timbul apabila kedua-dua pasukan yang menjadi musuh ketat sejak awal musim ini bakal berentap merebut slot ke separuh akhir. Malah Johor DT yang mempunyai kelebihan selepas menewaskan The Red Warriors (TRW) 4-2 pada aksi pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos bakal memberi tekanan kepada pasukan gergasi Pantai Timur itu untuk mempertahankan kejuaraan.
Dalam insiden 15 Januari lalu ketika saingan Liga Super, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan kehadiran anggota komando yang diarahkan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) kononnya untuk mengiringi pemain dan penyokong Johor DT.
Kehadiran komando yang lengkap bersenjata itu mendapat kritikan hebat peminat bola sepak tempatan kerana menggambarkan Liga M tidak selamat sehingga mendapat perhatian serius Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, (KAFA) Datuk Ismail Md Noor berharap kejadian membawa masuk komando itu tidak akan berulang.
Katanya, KAFA sudah membuat persiapan dengan pelbagai pihak dan anggota keselamatan untuk mengawal perlawanan termasuk pemain dan penyokong pelawat serta tuan rumah.
“Saya harap kejadian komando masuk stadium tidak berlaku lagi. Keselamatan penyokong pelawat dan tuan rumah berada di bawah pengawasan KAFA.
“Kita juga sudah bekerja sama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau perlawanan ini,” katanya.
Menurutnya, KAFA juga menubuhkan jawatankuasa keselamatan bagi memantau keadaan di stadium.
“Kita harap penyokong kedua-dua pasukan tidak membuat provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan,” katanya.
Sumber : Harian Metro/4 Oktober 2012
Gambar : Wira Merah

#theredwarriorsfc.com
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets