Friday, 18 October 2013

Buku Bertemu Ruas

INDRA
Debaran separuh akhir Piala Malaysia bakal bermula malam ini dengan ulangan final musim lalu antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang menjadi aksi sulung dalam perlawanan yang disifatkan umpama 'buku bertemu ruas'.
ATM dibarisi beberapa pemain 'kuda tua' namun kaya dengan pengalaman, sementara Kelantan mempunyai sebuah skuad yang seimbang daripada segenap aspek, menjadikan perlawanan yang bakal bermula 8.45 malam ini pasti mendebarkan untuk ditonton.
Di atas kertas, Kelantan nampaknya dilabel sebagai pasukan pilihan selepas menjinakkan Johor Darul Takzim (Johor DT), 6-1 pada suku akhir kedua tetapi pengendali Kelantan, Bojan Hodak tidak rela anak-anak buahnya lena dibuai mimpi memandangkan ATM bukanlah calang-calang pasukan.
Tiada istilah mendabik dada dengan keputusan itu, sambil mengingatkannya ia sudah menjadi satu sejarah dan mereka kini hanya meletakkan fokus bagi menghadapi ATM dengan mencari bekalan yang selesa ke Kota Bharu.
"ATM sebuah pasukan yang kuat. Mereka memiliki rangkaian pemain hebat seperti Marlon Alex James, Hairuddin Omar dan beberapa lagi. Selain itu kelebihan beraksi di tempat sendiri pasti melonjakkan lagi semangat mereka untuk menumpaskan Kelantan pada perlawanan ini.
"Begitupun kita sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan ini. Kekuatan mental dan pengalaman beraksi di saingan tertinggi memberikan kelebihan buat Kelantan," katanya.
Beliau akan menurunkan barisan terbaiknya bagi memastikan ATM berputih mata di laman sendiri, sambil mengingatkan senjata utama mereka, Dickson Nwakaeme bakal mengkucar-kacirkan kubu The Gladiators.
Rakan sejawatnya, B. Sathianathan, pula tidak mahu menjadikan rekod kemenangan di Kota Bharu pada saingan Liga Super sebagai modal yang mereka boleh mengalahkan The Red Warriors, sambil bermain psikologi yang Kelantan mempunyai banyak kelebihan untuk menang.
''Semasa kita mengalahkan Kelantan dahulu, mereka tengah mengalami kemerosotan prestasi tetapi mereka sebuah pasukan yang berbeza sekarang ditambah dengan keyakinan cukup tinggi selepas mengalahkan Johor DT, 6-1.
''Mereka juga sebuah pasukan yang cukup sinonim dengan pentas Piala Malaysia semenjak tahun 2009 kerana sering kali mampu mara ke perlawanan akhir, jadi sudah tentu kelebihan di pihak mereka.
''Perkara yang paling sukar untuk dilakukan sudah tentu mahu mengawal Dickson Nwakaeme kerana apa yang saya perhatikan semasa perlawanan di Johor, dia cukup mudah mengatasi 4-5 pemain dengan begitu sahaja, " katanya yang ditemui selepas latihan pasukan ATM di TUDM Subang, semalam.
Bermain di Selayang, Sathianathan mengharapkan tuah akan berpihak kepada mereka kerana pemainnya jelas begitu bersemangat tiap kali beraksi di sana berbanding Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
''Daripada segi mental, pemain saya cukup selesa bermain di Selayang kerana sering kali mampu mencatatkan kemenangan apabila bertemu dengan mana-mana pasukan, jadi saya harap mereka tidak mensia-siakan kesempatan yang diberikan, " katanya.
Sumber : Utusan Malaysia/18 Oktober 2013

#theredwarriorsfc.com
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets