
Obinna Nwaneri (kiri) tidak dapat beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 pada 3 November ini selepas mengutip dua kad kuning.
KOTA BHARU – Kelantan terpaksa melupakan khidmat tonggak pertahanan kental Obinna Nwaneri pada aksi akhir Piala Malaysia 2013 bertemu dengan Pahang 3 November ini selepas digantung perlawanan gara-gara mengumpul dua kad kuning.
Pengurus pasukan The Red Warriors, Azman Ibrahim menganggap ketiadaan Nwaneri akan meninggalkan kesan terhadap benteng Kelantan.
Begitupun, dia yakin dan percaya pengendali Kelantan, Bojan Hodak mempunyai perancangan terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain kelahiran Nigeria itu.
“Walaupun Kelantan bakal beraksi tanpa Nwaneri, namun kita tetap mempunyai pemain yang mampu menggalas tugas di bahagian tersebut.
“Saya yakin dan percaya pemain yang bakal diturunkan pada perlawanan tersebut pasti memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan kejayaan berpihak kepada Kelantan dalam perlawanan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelantan mara ke pentas akhir buat kali keempat dalam tempoh lima tahun selepas menundukkan ATM 4-3 menerusi kiraan agregat manakala Pahang menamatkan penantian selama 16 tahun untuk mara ke perlawanan akhir dengan menyingkirkan Sarawak juga dengan kiraan agregat 4-2.
Azman memberitahu, kesemua pemain utama Kelantan bebas daripada kecederaan dan bersiap sedia untuk beraksi kecuali Daudsu Jamaluddin yang menjalani pembedahan sebelum ini.
www.utusan.com.my
#kelate.net