
Pentas akhir Piala Malaysia semakin menggamit juara bertahan, Kelantan, apabila meraih bekalan yang cukup berharga untuk dibawa ke Kota Bharu melalui kemenangan 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Dua watak penting yang membawa kemenangan The Red Warriors adalah Mohd. Badhri Mohd. Radzi yang menjaringkan gol pertama pada minit ke-12 sebelum jaringan kemenangan dicipta Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-78.
Christie Jayaseelan menjaringkan gol sagu hati buat ATM pada minit ke-19 yang sekadar gol penyamaan sementara namun itu masih belum cukup untuk memberikan Kelantan satu kelebihan selesa dengan dua gol di tempat lawan.
Jika tidak kerana kecekapan penjaga gol ATM, Farizal Harun, skuad kendalian B. Sathianathan pasti kalah dengan keputusan yang lebih teruk ketika barisan pertahanan yang diketuai Shukor Adan begitu sukar mengawal kekuatan fizikal yang ada pada penyerang import Kelantan, Dickson Nwakaeme.
Selain itu, faktor keletihan dialami oleh kebanyakan pemain ATM yang berusia 30an ke atas bijak diambil kesempatan oleh pasukan pelawat pada 20 minit terakhir permainan dengan melancarkan serangan pantas bertali arus selain kecederaan yang menimpa Norfazly Alias.
Kelantan menggamatkan suasana di Selayang terlebih dahulu apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-12 melalui pemain pujaan The Red Warriors, Badhri Radzi. Badhri atau lebih popular dengan nama jolokan Piya meledak melalui rembatan jarak jauh dari luar kotak selepas melakukan tindakan susulan percubaan Nor Farhan Muhammad.
The Gladiators tidak menunggu masa terlalu lama memadamkan kelebihan pelawat apabila Christie dalam situasi yang tidak diduga bijak menghukum kealpaan pertahanan Kelantan, enam minit kemudian.
Fitri Omar yang sebelum itu gagal melunaskan peluang keemasan pada minit kesembilan, sekali lagi menghampakan rakan-rakan sepasukan apabila bola sepakannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Kelantan pada minit ke-51.
Pada minit ke-71, Kelantan seharusnya boleh kembali berada di hadapan namun K. Reuben menjadi penyelamat ATM apabila dapat mengeluarkan bola di atas garisan gol hasil percubaan Nor Farhan.
Bagaimanapun, Nor Farhan menebus kembali kehampaannya pada minit ke-78 selepas berseorangan di dalam kotak penalti dan mudah menewaskan Farizal yang tidak dapat berbuat apa-apa.
Sumber : Utusan Malaysia/19 Oktober 2013
#theredwarriorsfc.com