Thursday, 24 October 2013

TRW Buru Gol Awal

Hodak (kanan) serius mengatakan sesuatu kepada anak buahnya pada sesi latihan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.
BURU gol awal dan jangan bolos. Itu percaturan strategi pengendali The Red Warriors (TRW), Bojan Hodak menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia, pertemuan Kelantan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kota Bharu, malam esok.
Tidak mahu terpengaruh dengan sentimen kebangkitan yang dicetuskan di kem The Gladiators, Hodak menegaskan betapa jaringan awal daripada anak buahnya amat diperlukan bagi membunuh semangat juang pemain lawan pada pertembungan ulangan finalis Piala Malaysia musim lalu itu.
Menurutnya, dalam perlawanan yang cukup sengit malam esok, jaringan awal memang cukup penting kerana ia dilihat mampu mengubah corak permainan seperti mana dibuktikan ketika pasukannya membelasah Johor Darul Takzim 6-1 dalam aksi suku akhir kedua, 4 Oktober lalu.
“Saya percaya pemain saya mampu melakukannya. Tidak ada yang mustahil dalam bola sepak kerana mereka sudah membuktikannya ketika kami menewaskan ATM 2-1 pada separuh akhir pertama di Selayang tempoh hari.
“Orang cakap sebagai juara bertahan, tekanan mungkin lebih terarah kepada kami. Tetapi saya tidak rasa begitu, kami tidak tertekan dan akan bermain seperti biasa. Pasukan ATM sebenarnya yang lebih tertekan untuk mendapatkan gol ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Tambahnya, ATM pasti berdepan masalah besar beraksi di Kota Bharu kerana bukan sahaja benteng pertahanan mereka sukar untuk mengekang kelincahan Iron Man Dickson Nwakaeme malahan pergerakan penyerang prolifiknya, Marlon Alex James akan dirantai secukup-cukupnya oleh Obinna Nwaneri.
Kata pengendali Croatia itu lagi, faktor kebanjiran penyokong setia TRW  yang akan memenuhi segenap ruang di stadium keramat malam esok juga turut menyemarakkan semangat pemainnya untuk mempamer aksi ‘menggila’ berdepan skuad kendalian B Satiananthan itu.
“Persiapan kami berjalan lancar, malah semua pemain nampak okey kerana mereka akan bermain di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri malam esok. Secara peribadi saya turut merasai atmosfera yang sama kerana semua pemain bebas daripada kecederaan dan penggantungan perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, Hodak memberitahu beliau tidak mahu terperangkap dengan perang psikologi yang dilemparkan rakan sejawatannya, Satiananthan yang dilihat begitu optimis mampu menumbangkan Kelantan buat kali kedua di Kota Bharu, malam esok.
“Sebelum perlawanan, semua orang boleh bercakap pasal kebangkitan dan sebagainya. Saya tahu ATM ialah pasukan pertama yang memusnahkan rekod tanpa kalah kami dalam 42 perlawanan sejak 25 Mei 2011.
“Apa yang berlaku pada 13 April lalu (tewas 1-3 kepada ATM) sudah menjadi sejarah. Saya sendiri pun tidak mahu memikirkan kekalahan itu kerana malam esok situasinya adalah berbeza kerana kami sedang mengatasi mereka dengan kelebihan satu gol ketika ini,” katanya.

#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets