Sunday, 6 October 2013

Kehadiran Darby Cetus Persoalan

Darby (dua,kanan) berada di Kota Bharu bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Presiden sambil ditemani Setiausaha Agung Kafa, Azman (dua,kiri), dua hari lalu.
KEHADIRAN bekas pengendali Perak, Steve Darby di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Presiden, dua hari lalu mencetuskan tanda tanya sama ada beliau bakal membimbing The Red Warriors (TRW) pada musim depan.
Darby, 58, dilihat serius menyaksikan pertemuan Kelantan menentang Johor itu, pada masa sama turut berbincang dengan pengendali TRW, Bojan Hodak selain Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Afandi Hamzah dan Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim.
Azman ditemui Sinar Harian bagaimanapun memilih jalan selamat apabila enggan mengulas panjang ketika ditanya mengenai kehadiran Darby, jurulatih yang pernah membawa Perak muncul naib juara Piala Malaysia pada 2007.
“Tengoklah nanti, kita akan umum pada masa sesuai. Sekarang kita hendak fokus pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia yang berlangsung ketika ini. Saya tak mahu komen apa-apa.
“Lagi pun, persiapan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2014 lambat lagi. Malah pendaftaran pasukan juga akan dilakukan bulan November. Kita tumpu pada perlawanan malam esok (suku akhir kedua Piala Malaysia) dan mahu mara ke separuh akhir,” katanya.
Darby, jurulatih kelahiran England tidak asing lagi dalam kancah bola sepak negara apabila pernah membimbing Johor pada musim 1998 hingga 2000, Perak (2005-2008) selain pengalaman menjadi pembantu kepada Bryan Robson, mengendalikan skuad kebangsaan Thailand pada 2009.
Situasi terkini itu mengundang spekulasi di kalangan peminat mengenai masa depan Hodak yang dikatakan tidak berhasrat menyambung kontrak bersama Kelantan sebaliknya mahu berhijrah ke Pulau Pinang bagi melatih pasukan itu dalam kancah Liga Premier musim depan.
Sinar Harian pada 25 September lalu melaporkan pengendali dari Croatia itu menafikan beliau akan beralih arah kepada pasukan lain sebaliknya memberi jaminan terus kekal membimbing Kelantan setelah membalas tawaran dikemukakan pihak Kafa.

#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets