Tuesday, 22 October 2013

KAFA Mampu Tangani Kebanjiran Penyokong

PENYOKONG
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yakin Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dapat menangani insiden kebanjiran penyokong pada pertemuan kedua pasukan itu dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad V di sini, Jumaat ini.


Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, pihaknya yakin KAFA mempunyai pengalaman untuk mengendalikan perlawanan seumpama itu.
Malah, beliau turut yakin KAFA dapat menangani insiden kebanjiran penyokong seperti yang berlaku dalam perlawanan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang baru-baru ini, seterusnya mengelak sebarang kejadian buruk.
"Ini bukan kali pertama Kelantan berada di peringkat separuh akhir.
"Saya yakin KAFA sudah melakukan persiapan terbaik untuk perlawanan kedua antara The Red Warriors dan ATM di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kota Bharu dan Kota Bharu FA (KBFA) dekat sini semalam.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah yang juga Yang Dipertua MSSD Kota Bharu, Che Ab. Aziz Daud.
Mengulas lanjut, Afandi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yakin, KAFA sudah pasti melakukan persiapan terbaik untuk menguruskan perlawanan kedua tersebut.
Ini kerana, perlawanan melibatkan pasukan Kelantan sentiasa menjadi perhatian peminat bola sepak tanah negeri ini dan persiapan rapi mampu mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Pada perlawanan pertama di Stadium Perbandaran Selayang pada 18 Oktober lalu, segelintir penyokong kedua-dua pasukan dilaporkan tidak dapat memasuki stadium meskipun mempunyai tiket sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan, MSSD dan KBFA mengikat perjanjian untuk menjadi perintis kepada program pembangunan bola sepak di Kelantan, sekali gus melaksanakan misi untuk melahirkan bakat baru dalam meneruskan kegemilangan pasukan TRW khususnya.
Afandi yang juga Presiden KBFA berkata, perjanjian berkenaan merupakan projek ulung yang pernah dibuat oleh persatuan bola sepak jajahan bagi melahirkan bakat baru.
"MSSD dan KBFA akan bekerjasama untuk melahirkan bakat baru kerana dari segi pencapaian, kita lihat ramai pemain muda dari negeri ini yang berjaya dicungkil bakatnya berasal dari Kota Bharu," katanya.
Beliau juga berharap MSSD akan mencungkil bakat pemain yang bakal mewakili Kota Bharu di peringkat Majlis Sukan Sekolah Kebangsaan (MSSK) dan juga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Sumber : Utusan Malaysia/21 Oktober 2013
Gambar : Wira Merah Photography

#theredwarriorsfc.com
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets