
Pemain sayap Kelantan, Mohamad Norfarhan Mohamad menganggap tiada yang mustahil bagi The Red Warriors untuk melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia walaupun tewas 2-4 kepada Johor Darul Takzim pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada 28 September lalu.
Mohamad Norfarhan atau lebih dikenali sebagai 'Ben 10' itu berkata, kekalahan perlawanan pertama bukan penamat kepada juara bertahan itu, malah menyifatkan masih ada 90 minit yang perlu diteruskan.
“Dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku dan tidak mustahil kita juga mampu tewaskan Johor DT di tempat sendiri berbekal dua gol tempat lawan. Saya harap rakan sepasukan tidak mudah mengalah, malah saya sendiri akan berjuang habis-habisan untuk memastikan kami layak ke separuh akhir,” katanya.
Pemain yang berasal dari Kuala Terengganu itu juga mengaku berusaha mencipta jaringan peribadi selepas gagal menjaringkan sebarang gol sejak kempen Piala Malaysia bermula.
Katanya, jentera serangan pasukan gergasi Pantai Timur itu perlu lebih tajam melakukan penyudah sekiranya mahu meneruskan misi mempertahankan kejuaraan.
“Setakat ini saya belum menjaringkan gol dalam saingan Piala Malaysia namun dalam perlawanan malam esok, saya akan cuba lakukannya. Kita banyak melepaskan peluang pada aksi pertama dan saya harap dalam aksi kedua, jentera serangan dapat memanfaatkan peluang terhidang,” katanya.
Sumber : Harian Metro/4 Oktober 2012
#theredwarriorsfc.com