Friday, 11 October 2013

Bukan Masalah Kami : Hodak

Penyokong Kelantan tiada masalah untuk memenuhi setiap ruang mana-mana stadium.
‘Pemain saya tidak ada masalah beraksi di Selayang atau Shah Alam’
Kota Bharu: Ketika jurulatih Tentera, B Sathianathan berada dalam dilema memilih sama ada Stadium Selayang atau Stadium Shah Alam sebagai lokasi separuh akhir pertama Piala Malaysia 18 Oktober ini, tetapi tidak rakan sejawatannya di Kelantan, Bojan Hodak.
Bagi Hodak skuad bimbingannya tidak kisah beraksi di Stadium Selayang atau Shah Alam kerana sudah biasa beraksi di kedua-dua stadium berkenaan walaupun mengakui faktor sokongan ‘pemain ke-12’ turut memainkan peranan penting bagi menghadapi perlawanan getir ibarat aksi final itu.
“Saya percaya ini bukan masalah kami, sebaliknya lawan yang jelas terdesak dengan tuntutan pemain mereka sendiri supaya aksi itu diadakan di Stadium Selayang. Saya percaya mereka dalam keadaan berbelah bagi dan ini mungkin menjejaskan persiapan mereka sendiri.
Tindakan makan diri
“Saya percaya pemain saya tidak ada masalah beraksi di Selayang atau Shah Alam kerana kami sudah biasa beraksi di kedua-dua stadium berkenaan. Saya percaya penyokong kami tetap datang memberi sokongan di mana saja kami bermain,” katanya semalam.
Terdahulu, Tentera terperangkap dalam isu pertukaran stadium selepas membuat permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya aksi separuh akhir pertama itu dipindahkan dari Stadium Selayang ke Stadium Shah Alam dengan alasan faktor keselamatan.
Tindakan itu bagaimanapun memakan diri apabila mendapat bantahan daripada pemain mereka sendiri yang mahu perlawanan itu dilangsungkan di Stadium Selayang kerana pertukaran ke Stadium Shah Alam memberi kelebihan kepada Kelantan terutama dari segi kehadiran serta sokongan penyokong.

#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets